Am 22/08/2026 05:24 PM

SFV Raih Pengiktirafan Berganda, Kukuhkan Keunggulan Dalam Sektor Agropelancongan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SFV Raih Pengiktirafan Berganda, Kukuhkan Keunggulan Dalam Sektor Agropelancongan
Ketua Sektor Sekuriti Makanan & Perladangan PKPS, Jamaluddin Kadir (tiga, kiri) menerima Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 daripada Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim (tiga, kanan). Kredit: Selangor Fruit Valley

SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Selangor Fruit Valley (SFV) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi agropelancongan unggul menerusi dua pengiktirafan dalam tempoh dua minggu.

Dua pengiktirafan berkenaan ialah Anugerah Produk Ikonik Tourism Selangor 2025 bagi Kategori Pelancongan Agro dan Destinasi Agropelancongan Terunggul sempena Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA 2026) masing-masing pada 21 dan 8 Ogos lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kedua-dua pengiktirafan tersebut merupakan penghormatan kepada PKPS dan SFV. 

Beliau berkata ia mencerminkan hasil usaha bersama seluruh warga kerja organisasi, Kerajaan Negeri Selangor dan rakan strategik, termasuk media yang sentiasa memberikan sokongan.

 “SFV bukan sekadar destinasi pelancongan, malah berperanan sebagai platform untuk mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian serta memberi pendedahan mengenai teknologi dan inovasi dalam industri agro.

“Melalui SFV, kita bukan sahaja membawa pengunjung melihat dan merasai pengalaman berkaitan pertanian, malah membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan usahawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohamad Khairil berkata PKPS akan terus memperkukuh pembangunan SFV melalui penambahbaikan kemudahan serta pengenalan projek dan tarikan baharu bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.

Beliau berkata antara tarikan baharu yang bakal diperkenalkan ialah Kafe Vanila, kemudahan glamping dan Taman Buah Nadir yang menawarkan pengalaman agropelancongan, rekreasi dan pendidikan kepada pengunjung, selain menyokong usaha pemuliharaan spesies buah-buahan tempatan yang semakin sukar ditemui. 

“Selain menerima kunjungan pelawat tempatan, SFV turut menjadi pilihan pelancong antarabangsa termasuk dari United Kingdom, Australia, Rusia, Afrika, China, India, Jepun dan Korea.

“Pada 2025, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung dan menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada 2026, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi agropelancongan pilihan peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. 

Dalam pada itu, SFV juga rakan penaja Program Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 anjuran Balai Seni Negara yang berlangsung di Pustaka Imaginasi, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. 

Program berkenaan merupakan inisiatif untuk memperkenalkan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan seni visual negara, di samping menggalakkan budaya membaca, berfikir dan berkarya dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA