Dunia 21/08/2026 07:19 PM

94 Peratus Penduduk Gaza Perlu Tempat Berlindung, Bekalan Asas Isi Rumah - PBB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
94 Peratus Penduduk Gaza Perlu Tempat Berlindung, Bekalan Asas Isi Rumah - PBB
Rakyat Palestin berjalan di tengah-tengah runtuhan bangunan kediaman yang musnah semasa perang, di kem pelarian Jabalia, utara Semenanjung Gaza. 5 Ogos, 2026. REUTERS/Mahmoud Issa

NEW YORK, 21 Ogos (Bernama-WAFA) -- Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata 94 peratus penduduk Palestin di Semenanjung Gaza memerlukan tempat berlindung dan bekalan keperluan asas isi rumah di tengah-tengah pencerobohan serta sekatan berterusan Israel ke atas wilayah itu, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Dujarric menyatakan demikian ketika sidang media di New York pada Khamis malam sempena Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos, ketika beliau memberikan perkembangan terkini mengenai situasi di Timur Tengah.

Memetik laporan daripada Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric berkata laporan terus diterima mengenai orang awam Palestin di Gaza yang terbunuh, cedera atau terjejas akibat serangan udara, bedilan artileri serta tembakan tentera Israel.

Beliau berkata empat daripada setiap lima keluarga berdepan tahap kelaparan yang kritikal atau bencana di pusat perlindungan yang sedia ada terjejas akibat kekurangan bahan api, tenaga dan bekalan asas isi rumah.

Kekangan itu, kata beliau menjejaskan secara serius keupayaan penduduk untuk tidur, menyediakan makanan, mandi, menyimpan makanan dan air, mendapatkan pencahayaan yang mencukupi serta menangani suhu tinggi.

Dujarric turut berkata mayat 50 penduduk Palestin yang dipercayai terbunuh dalam serangan Israel di Gaza bagi tempoh yang berlanjutan telah dijumpai daripada bawah runtuhan dan dikebumikan.

Beliau berkata memandangkan usaha membersihkan runtuhan dan mengeluarkan baki mayat mangsa kekal amat sukar, dengan operasi terhalang disebabkan sekatan terhadap kemasukan jentera berat, alat ganti dan bahan penting lain, selain sekatan akses ke kawasan luas di Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA-WAFA