IPOH, 21 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes pemerasan membabitkan sebuah kilang e-sisa di Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang membawa kepada penahanan 10 anggotanya.
Pemangku Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta ACP Jafri Muhamad berkata kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan tertinggi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
“Bagaimanapun, perkara ini masih dalam peringkat siasatan oleh pihak polis Pulau Pinang yang menyiasat kes ini.
“Kami memberikan kerjasama sepenuhnya dari segi siasatan jenayah dan siasatan dalaman juga telah dimulakan sebagaimana dikehendaki pucuk pimpinan Briged Utara,” katanya pada sidang media sempena kejayaan tangkapan dan rampasan berkaitan Ops Gali Mega di Ibu Pejabat Briged Utara di sini hari ini.
Jafri berkata pihaknya tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang salah laku membabitkan pegawai dan anggota di bawah pasukan itu.
Terdahulu, sebanyak 10 anggota PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan di sebuah kilang memproses sisa elektronik di Tasek Gelugor pada Rabu lepas.
Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kesemua anggota terbabit bertugas di Batalion 2 PGA, Kulim, Kedah. Mereka yang ditahan berumur 30-an hingga 40-an terdiri daripada pelbagai pangkat dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA