Am 21/08/2026 06:22 PM

Selangor Akan Semak Semula RS-2 Dalam Tempoh Dua Tahun – Amirudin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Selangor Akan Semak Semula RS-2 Dalam Tempoh Dua Tahun – Amirudin
Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan melaksanakan semakan dan penambahbaikan terhadap Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dalam tempoh dua tahun bagi memastikan dokumen perancangan pembangunan negeri itu kekal relevan dan seiring dengan perkembangan semasa.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata semakan berkenaan akan mengambil kira dapatan terbaharu, termasuk perubahan struktur serta pertambahan program dan projek yang boleh dimasukkan dalam RS-2.

“Sebagaimana pengalaman kita dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan meneliti kejayaannya, kita belajar juga ada beberapa perkara yang harus kita betulkan, antaranya mempercepatkan kerangka pemantauan.

“Di samping itu, kita juga perlu segera melaksanakan perancangan untuk projek-projek di peringkat bawah, selain mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi kewangan agar dapat menjadi pemudah cara bagi pembiayaan projek itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan RS-2, iaitu rancangan ekonomi negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi dalam 25 bidang, dengan sasaran nilai ekonomi RM600 bilion sepanjang tempoh berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hadir sama pada program berkenaan ialah pengarang agensi media, termasuk Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Amirudin berkata selepas RS-1 tamat, sebanyak 79 peratus daripada segala ikhtiar yang dirancang berjaya dicapai atau berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan, manakala baki diteruskan menerusi RS-2.

Antaranya termasuk projek di bawah Sabak Bernam Development Area (SABDA) serta Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).

Beliau berkata Rancangan Selangor (RS) boleh dijadikan model pembangunan di peringkat serantau kerana pendekatannya berbeza daripada Rancangan Malaysia dan lebih berfokus kepada perancangan di peringkat syarikat berkaitan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta daerah.

Enam misi RS-2 ialah Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor; Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah; Negeri Penyayang dan Berdaya Huni; Modal Insan Produktif dan Inklusif; Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik; serta Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan.

RS-2 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 7 Ogos lepas turut menggariskan lima sektor yang akan menjadi tumpuan sehingga 2030, iaitu elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital dan ekonomi kreatif.

Selain itu, sesi libat urus Menteri Besar Selangor bersama pengamal media turut diadakan hari ini bagi memberi penerangan mengenai hala tuju RS-2.

-- BERNAMA