Am 21/08/2026 05:13 PM

Sayed Muzzakkir Minta RM350,000 Bantu Nexuscorpgroup Dapatkan Tender Projek PDRM - Saksi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sayed Muzzakkir Minta RM350,000 Bantu Nexuscorpgroup Dapatkan Tender Projek PDRM - Saksi
Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, memintanya membayar RM350,000 secara tunai bagi sebahagian komisen lima peratus, selepas membantu syarikat Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NXG) mendapatkan tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Urusan NXG Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, berkata permintaan tersebut dibuat oleh bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu, semasa Wan Azhar berada di pejabat lama syarikat NXG di Shah Alam, pada awal Disember 2020.

“Sayed (Sayed Amir Muzzakkir) menghubungi saya dan bertanya kepada saya, ‘boleh tak kau bayar 350k?, aku nak pakai duit ni, cash’. Saya memaklumkan kepada Sayed bahawa saya boleh bayar, namun bukan secara lumpsum

“Saya juga memaklumkan kepada Sayed bahawa saya akan bayar dua kali dan Sayed bersetuju dengan cadangan tersebut,” kata saksi utama pendakwaan ketika membaca pernyataan saksinya, pada perbicaraan kes rasuah Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan membabitkan nilai RM350,000.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata beliau mengarahkan pengurus kewangan, Chloe menyediakan baucar pembayaran berjumlah RM100,000 dan RM250,000 masing-masing pada 4 dan 8 Dis 2020, untuk membayar sebahagian komisen lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir secara tunai, sebelum Chloe mengeluarkan cek tunai.

Wan Azhar berkata selepas menunaikan cek berkenaan, beliau menghubungi Sayed Amir Muzzakkir untuk memaklumkan mengenai penyerahan wang tersebut dan Sayed Amir Muzzakkir memintanya menyerahkan wang itu di pejabat tertuduh, di Yayasan Tanah Aku di Publika.

“Saya menyerahkan wang berjumlah RM100,000 yang berada dalam beg kertas kepada Sayed sekitar 4 petang, pada 4 Dis 2020 dan wang berjumlah RM250,000 juga dalam beg kertas diserahkan pada 3.30 petang, 16 Dis 2020. Sewaktu serahan tersebut, hanya saya dan Sayed berdua sahaja,” katanya.

Terdahulu, Wan Azhar berkata beliau mengenali Sayed Amir Muzzakkir pada 2009 ketika Sayed Amir Muzzakkir mula bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malsalink Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Dasar Jati Sdn Bhd (DJSB) manakala Wan Azhar memegang jawatan Pengurus Besar DJSB.

Wan Azhar berkata pada April 2020, Sayed Amir Muzzakkir menghubunginya selepas mengetahui syarikat NXG menerima surat pelawaan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyertai tender projek RMPNet.

“Sayed ada menghubungi saya dan bertanya kenapa tidak hubungi beliau, Sayed memaklumkan kepada saya bahawa beliau ada melihat syarikat saya tersenarai di dalam tender untuk projek RMPNet di KDN. 

“Pada ketika itu Sayed merupakan Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri Dalam Negeri, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin. Sayed juga memaklumkan kepada saya bahawa hanya saya sahaja yang tidak menghubungi beliau manakala kontraktor lain yang memasuki tender RMPNet ada menghubungi beliau untuk minta tolong mendapatkan projek tersebut,” katanya.

Wan Azhar berkata Sayed Amir Muzzakkir memberitahu bahawa beliau boleh menolong dan membantu syarikat NXG untuk mendapatkan projek RMPNet dan akan memperkenalkan seorang kawannya untuk berbincang bagi membantu mendapatkan projek itu.

Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir, 43, didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof, sebagai upah membantu Nexuscorpgroup memperoleh tender RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44 di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini, masing-masing pada 4 petang, 4 Dis 2020, dan 3.30 petang, 16 Dis 2020.

Sayed Amir Muzzakkir juga dituduh meminta suapan RM350,000 daripada individu sama, bagi tujuan serupa di pejabat Nexuscorpgroup Sdn Bhd di Shah Alam pada awal Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 22 Sept.

-- BERNAMA