Am 21/08/2026 06:14 PM

Sindiket "Love Scam" Tumpas, Dalang Warga China Dan Rusia Antara 21 Ditahan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sindiket
Kredit : Laman Facebook Jabatan Imigresen Malaysia

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian termasuk love scam dan penjualan barangan palsu berikutan penahanan 21 individu dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Nilai, Negeri Sembilan, Rabu lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sindiket yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun itu menjadikan sebuah kediaman mewah di kawasan terpencil di Taman Desa Melati, Nilai sebagai pusat operasi dan dipercayai mampu mengaut keuntungan hingga USD 50,000 menerusi kegiatan berkenaan.

Beliau berkata pasukan operasi pada mulanya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai anggota sindiket serta seorang lelaki dan wanita warga China berusia antara 50 hingga 53 tahun di KLIA.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini menguruskan kemasukan warga asing ke Malaysia dengan menyasarkan warga China yang dipercayai telah disenarai hitam oleh JIM

"Suspek yang telah disenarai hitam ini dipercayai memilki dua naskhah pasport China yang berbeza nombor . Pasport China yang tidak disenarai hitam oleh JIM digunakan untuk melalui pemeriksaan di e-Gate di KLIA," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek warga China itu telah menjumpai pasport China yang telah disenarai hitam di dalam beg mereka.

Beliau berkata lelaki tempatan berkenaan pula dipercayai berperanan menghantar warga China terbabit ke lokasi ditetapkan dengan sindiket mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM500 seorang bergantung kepada destinasi.

"Hasil soal siasat terhadap kesemua yang ditahan, pasukan operasi telah membuat pemeriksaan lanjut ke lokasi premis kediaman di Taman Desa Melati, Nilai dan berjaya menahan ‘dalang utama’ iaitu tiga warga China termasuk seorang wanita dan seorang wanita warga Rusia," katanya.

Turut ditahan ialah 'ahli sindiket' terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita warga China serta masing-masing seorang lelaki warga Vanuatu dan Pakistan, selain masing-masing seorang wanita warga India dan Myanmar.

Zakaria berkata kesemua warga asing yang ditahan di premis berkenaan berusia antara 23 hingga 33 tahun dan semakan awal mendapati mereka memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menggunakan Telegram dan WhatsApp untuk memperdaya mangsa menerusi taktik love scam serta penjualan barangan palsu, dengan sasaran mangsa di luar negara.

Zakaria berkata anggota sindiket dibekalkan skrip untuk memperdaya mangsa dan diberikan komisen berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya diperdayakan.

Dalam operasi di kedua-dua lokasi, beliau berkata JIM turut menyita antaranya 32 pasport China, masing-masing sebuah pasport Myanmar, India, Vanuatu dan Rusia, 11 set komputer meja, sebuah komputer riba, 44 telefon bimbit, sebuah Proton X70 serta wang tunai RM4,800 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Lelaki tempatan dan empat individu dipercayai dalang utama ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing yang lain ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata operasi pada 19 Ogos itu bermula 5.55 petang susulan maklumat awam dan risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Keselamatan dan Pasport, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

-- BERNAMA