Am 21/08/2026 03:52 PM

Keterbatasan Fizikal Bukan Penghalang Bapa Urus Tiga Anak OKU Ke Sekolah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keterbatasan Fizikal Bukan Penghalang Bapa Urus Tiga Anak OKU Ke Sekolah
Orang Kelainanan Upaya (OKU) Zani Mamat, 48, bersama empat anaknya Zulaika Najwa, 13 (berdiri, kiri) dan tiga anaknya istimewanya, Zawani Najwa, 17, (duduk kiri), Mohd Zarif Nazmi, 15 (kanan) dan Mohd Zain Nazmi, 11, ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Beting Lintang.

JERTIH, 21 Ogos (Bernama) -- Keterbatasan fizikal akibat kecacatan pada kedua-dua belah kaki sejak lahir tidak menghalang Zani Mamat daripada menunaikan tanggungjawab sebagai bapa untuk mengurus persekolahan tiga anaknya, dengan dua daripadanya ialah Orang Kurang Upaya (OKU).

Dengan bergantung pada tongkat untuk bergerak, Zani, 48, tetap menunggang motosikal beroda tiga untuk menghantar dan mengambil anak bongsunya, Mohd Zain Nazmi, 11, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Beting Lintang sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila bagi menghantar dan menjemput pulang Mohd Zarif Nazmi, 15, dan Zulaika Najwa, 13.

Perjalanan pergi dan balik sejauh kira-kira 10 kilometer itu dilakukannya kira-kira 1 tengah hari setiap hari persekolahan, sebagai sebahagian daripada rutin membesarkan empat anak bersama-sama isterinya, Nurul Hafizan, 38.

"Ada ketikanya jauh di sudut hati saya, terdetik rasa sedih apabila memikirkan keadaan keluarga, tetapi saya reda dengan ketentuan tuhan apabila melihat orang lain yang diuji lebih berat.

"Anak-anak saya masih boleh mengurus diri walaupun mempunyai kekurangan fizikal. Hal itu membuatkan saya bersyukur dan terus berusaha," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Daripada empat beradik termasuk anak sulung Zawani Najwa, 17, yang mempunyai kecacatan kaki sejak lahir, hanya Zulaika satu-satunya anak yang normal.

Zani berkata Zawani mengalami kelumpuhan pada kedua-dua kaki dan tidak boleh berdiri, menyebabkannya bergerak secara merangkak atau mengesot.

Katanya, Zawani pernah mengikuti kelas arus perdana di SMK Tembila hingga tingkatan empat sebelum berhenti sekolah kerana tidak mahu terus bergantung pada bantuan guru dan rakan-rakan.

"Mohd Zarif pula kedua-dua kakinya bengkok dan tegang sejak lahir serta mengikuti kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Tembila. 

"Dia menggunakan kerusi roda di sekolah, tetapi di rumah dia bergerak dengan cara mengesot. Mohd Zain turut mengikuti kelas PPKI di SK Beting Lintang dan menggunakan kerusi roda di sekolah. Dia hanya mampu berdiri seketika dengan berpaut pada sesuatu," katanya.

Zani berkata Zulaika yang kini belajar di tingkatan satu SMK Tembila dilahirkan kembar, namun saudara kembarnya meninggal dunia ketika berusia tiga bulan.

Bagi menyara keluarga, Zani tidak hanya bergantung pada bantuan kebajikan, sebaliknya mengusahakan bengkel pemprosesan ikan bilis di Pantai Beting Lintang ketika musim hidupan laut itu yang lazimnya berlaku kira-kira lima bulan setahun.

Apabila tiada hasil laut, dia mengambil upah menjahit pukat nelayan di sekitar Beting Lintang.

Keluarga itu turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala Mohd Zarif dan Mohd Zain menerima bantuan sebagai OKU.

Di sebalik ketabahan membesarkan keluarga, Zani menyimpan kebimbangan tentang masa depan anak-anak sekiranya dia dan isterinya sudah tiada.

"Kadang-kadang saya terfikir juga siapa yang akan menjaga mereka nanti. Saya harap anak-anak boleh berdikari dan tidak terlalu bergantung pada orang lain," katanya.

-- BERNAMA