BANGI, 21 Ogos (Bernama) -- Selepas membuat keputusan beralih daripada recurve kepada compound pada hujung tahun lepas, Wee Yee Qi menikmati penampilan sulung cemerlang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila membantu Sarawak meraih dua pingat emas hari ini.
Yee Qi terlebih dahulu bergandingan dengan Eason Lau Hui Wan menewaskan pasangan Kedah Muhammad Zaim Ahmad-Ili Nabihan Shafizan 151-150 dalam final berpasukan campuran.
Atlet berusia 17 tahun dari Miri itu kemudian melengkapkan hari gemilang bersama Aira Nadirah Aizuddin dan Nur Zara Aisyah Khairul Fadly apabila membantu Sarawak menambah emas menerusi acara berpasukan wanita menewaskan Terengganu 217-213.
Kejayaan itu lebih manis apabila trio Sarawak bangkit pada end terakhir selepas ketinggalan sepanjang tiga end awal untuk mengatasi Airazalia Azrai, Nur Shafiena Mohd Shuhamri dan Putri Aqiera Issandra Ismayuddin.
“Saya dedikasikan kejayaan ini kepada jurulatih yang banyak membantu, mengajar dan membawa saya menyertai pelbagai pertandingan untuk menimba pengalaman.
“Saya sudah enam tahun terlibat dalam sukan memanah dengan bakat saya dicungkil di sekolah. Dari situ saya semakin meminati sukan ini dan keluarga juga sentiasa memberi sokongan,” katanya kepada Bernama selepas aksi final di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini.
Yee Qi berkata keputusan beralih kepada compound dibuat selepas pencapaiannya dalam recurve tidak begitu menyerlah, namun bersyukur kerana perubahan itu mula membuahkan hasil.
Selepas ini, beliau akan memberikan tumpuan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula November ini sebelum kembali berlatih dengan sasaran untuk mewakili Malaysia.
Sementara itu, Selangor meraih gangsa berpasukan campuran menerusi Muhammad A’rif A’fiq Suhaimi-Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz yang menewaskan Hiew Ichin-Catherine Looi Mei Qi Abdullah dari Sabah 154-152.
Trio Selangor Amirah Batrisyia Mohamad Azizul Rahman, Nur Alya Sofrina Mohd Sarif dan Nur Alyaa Nazurah Fadzil Fairuz turut meraih gangsa berpasukan wanita selepas menewaskan Nur Auni Wafiy Mahusin-Nurin Afiqah Mohd Suhaily-Ummu Aleesya Qatrunnadaa Zarak Shaifuddin dari Kelantan 219-212.
-- BERNAMA