MOSCOW, 21 Ogos (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Amerika Syarikat (AS) dan Jamaica menandatangani perjanjian bagi memperkukuh kerjasama ketenteraan dan strategik dalam usaha memerangi keganasan berkaitan dadah di Hemisfera Barat, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Markas Pemerintahan Selatan AS (SOUTHCOM).
“Bersama rakan kongsi kami di Jamaica, kami memanfaatkan sejarah kerjasama keselamatan selama beberapa dekad untuk memperkukuh usaha menentang kartel serta memperluas tindakan bersama bagi menangani ancaman di Hemisfera Barat,” menurut SOUTHCOM di platform X.
Perjanjian itu dibina berdasarkan persetujuan yang dicapai pada Ogos di Panama sempena forum antikartel A3C antara Setiausaha Perang Pete Hegseth dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Negara Jamaica Horace Chang.
Pada November 2025, Hegseth mengumumkan pelancaran Operasi Southern Spear yang menyasarkan kartel dadah di Amerika Latin.
Sejak September 2025, tentera AS menyerang sekurang-kurangnya 67 kapal yang disyaki digunakan penyeludup dadah di Caribbean dan Lautan Pasifik, mengorbankan 221 orang, menurut SOUTHCOM.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI