Am 21/08/2026 02:52 PM

Pulau Pinang Negeri Pertama Kuat Kuasa Undang-undang Kecil Tempat Inap Persendirian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pulau Pinang Negeri Pertama Kuat Kuasa Undang-undang Kecil Tempat Inap Persendirian

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang menjadi negeri pertama di negara ini menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026 mulai 1 Ogos lepas bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan pengoperasian tempat inap persendirian (TIP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye berkata cadangan pewartaan undang-undang kecil itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 10 Jun lepas dan kerajaan negeri memberi tempoh dua bulan untuk permohonan lesen.

Beliau berkata TIP merujuk kepada aktiviti penginapan jangka pendek tidak melebihi enam bulan berturut-turut tanpa hubungan tenansi (sewa) antara pemilik dan penyewa, sama ada diuruskan sendiri atau menerusi platform tertentu dengan mengenakan bayaran.

“Pengoperasian TIP semakin mendapat sambutan selaras dengan pertumbuhan sektor pelancongan dan permintaan tinggi terhadap penginapan jangka pendek selain menyediakan alternatif khususnya kepada keluarga atau kumpulan yang memerlukan ruang lebih luas pada kadar berpatutan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, H'ng berkata pengoperasiannya perlu dijalankan secara teratur dan bertanggungjawab bagi mengelak gangguan kepada penduduk termasuk pencemaran bunyi, kesesakan lalu lintas, masalah sosial serta peningkatan kos penyelenggaraan kemudahan hartanah strata.

Beliau berkata sebanyak 364 aduan berkaitan kacau ganggu awam dan keselamatan akibat pengoperasian TIP secara haram diterima Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari 2020 hingga Mac tahun ini manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima 24 aduan.

H'ng berkata menerusi undang-undang kecil terbabit, setiap pengusaha perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mematuhi syarat berkaitan pengoperasian, kebersihan, keselamatan, aktiviti larangan serta kawalan kacau ganggu.

Undang-undang kecil itu turut memberi kuasa kepada PBT untuk menjalankan pemeriksaan, siasatan, memasuki premis serta menutup premis sekiranya berlaku pelanggaran syarat.

Beliau berkata fi pentadbiran sebanyak RM50 dikenakan bagi setiap permohonan manakala fi lesen ialah RM1,000 setahun bagi premis hingga tiga bilik dan tambahan RM200 setahun bagi setiap bilik tambahan.

Selain itu, fi TIP sebanyak RM1,800 setahun bagi setiap unit manakala pemilik premis yang gagal mematuhi undang-undang kecil itu boleh dikompaun sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Aktiviti TIP tidak dibenarkan di premis kerajaan atau badan berkanun, pusat jagaan kesihatan atau kanak-kanak, asrama pekerja, institusi pendidikan swasta serta perumahan kos rendah, kos sederhana rendah, rumah kawalan harga dan Projek Perumahan Rakyat.

H'ng berkata kawasan dibenarkan untuk pengoperasian TIP tertakluk kepada kawalan MBPP dan MBSP, manakala di bahagian pulau, zon berkenaan perlu selaras dengan Draf Rancangan Tempatan MBPP 2040 dan Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town.

-- BERNAMA