Dunia 21/08/2026 01:31 PM

Belia Malaysia Bawa Semangat Merdeka Ke Pentas Global Di Manchester

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belia Malaysia Bawa Semangat Merdeka Ke Pentas Global Di Manchester
Penyampaian cenderamata kepada Datuk Bandar Manchester, UK, Ahli Majlis Shaukat Ali. Foto oleh MyFundAction

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Sekumpulan belia Malaysia menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dengan membawa ilmu, kepimpinan serta aspirasi generasi baharu Malaysia ke pentas antarabangsa.

Semangat itu diterjemahkan oleh 31 profesional belia Malaysia yang menyertai Global Muslim Youth Meet-Up (GMYM) 2026 di British Muslim Heritage Centre (BMHC), Manchester, United Kingdom (UK), pada Ahad (16 Ogos).

Menurut kenyataan MyFundAction, patriotisme dalam kalangan generasi muda hari ini tidak hanya ditunjukkan melalui kibaran bendera atau perarakan, malah boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk termasuk melalui profesion dan khidmat kepada masyarakat.

Antara yang menyertai GMYM 2026 ialah anak kelahiran Johor, Dr Mohamad Khir Johari, yang memanfaatkan pengalaman beliau untuk pembangunan generasi muda menerusi penglibatannya dalam Youth of Strength & Happiness (YOSH) dan ekosistem MyFundAction, yang setakat ini telah membantu membangunkan lebih 7,000 anak muda.

Sementara itu, MyFundAction berkata usaha pembangunan belia bukan sekadar menyediakan mereka untuk masa depan Malaysia, tetapi juga membentuk individu yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

“MyFundAction sebagai organisasi membangunkan anak muda di Malaysia supaya mereka berani membawa ilmu, kepimpinan dan sumbangan mereka ke pentas global melalui kesukarelawanan, keusahawanan dan kecemerlangan akademik,” menurut kenyataan itu.

Program GMYM 2026 menghimpunkan delegasi belia Malaysia dari Ireland, Turkiye, Mesir, Jordan dan Malaysia bersama 26 pemimpin belia tempatan di UK yang mewakili Federation of Student Islamic Societies (FOSIS), Islamic Societies (ISOCs) serta komuniti Islam setempat.

Program itu memberi tumpuan kepada pembinaan jaringan, kepimpinan, keusahawanan dan pendidikan menerusi beberapa sesi termasuk identiti belia Muslim, impak sosial, pembangunan profesional dan tindakan lestari.

Ia dianjurkan dengan kerjasama FOSIS, BMHC dan Islamic Society of Britain (ISB Campus), manakala Datuk Bandar Manchester Councillor Shaukat Ali hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis penutup.

MyFundAction mempunyai kira-kira 5,000 sukarelawan yang melaksanakan projek kepimpinan dan kebajikan sosial di dalam serta luar Malaysia, dengan 90 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia.

-- BERNAMA