Ekonomi 21/08/2026 01:22 PM

Malaysia Sasar Cip Kerjasama Arm Masuk Pengeluaran Menjelang 2030 - Akmal Nasrullah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Sasar Cip Kerjasama Arm Masuk Pengeluaran Menjelang 2030  - Akmal Nasrullah
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tiga, kanan) menyerahkan surat tawaran kepada wakil Alphaswift Industries Sdn Bhd (tiga, kiri) pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran di Bawah Kerjasama Strategik Arm Limited Dalam Semikonduktor di Menara Prisma, Kementerian Ekonomi hari ini.

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyasarkan cip buatan tempatan hasil kerjasama dengan Arm Limited memasuki peringkat pengeluaran dan digunakan dalam rantaian bekalan semikonduktor negara menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata syarikat yang menerima akses teknologi melalui token kerjasama itu memerlukan kira-kira tiga tahun untuk membangunkan reka bentuk cip sebelum menghasilkan produk pertama, dengan empat syarikat kini sudah memasuki peringkat reka bentuk dan penilaian harta intelek (IP).

Akmal Nasrullah berkata sasaran itu mengambil kira tempoh pembangunan reka bentuk, pengeluaran serta keperluan memastikan cip yang dihasilkan boleh dipasarkan dan diterima pelanggan yang dikenal pasti oleh syarikat terbabit.

“Reka bentuk itu mengambil masa kira-kira tiga tahun kerana yang pertama dapat dijangkau pada tahun lepas, 2025, 2028, dan kemudian apabila mereka mula mengeluarkan cip, sudah tentu kami sedang melihat tempoh masa itu.

““Tetapi sudah tentu, kerana pada masa ini kami telah menyenaraikan empat syarikat untuk memulakan peringkat reka bentuk dan melihat IP berkenaan.

“Jadi diharapkan, maksud saya, saya tahu saya meletakkan syarat untuk mempunyai reka bentuk itu sendiri menjelang 2028, tetapi sepanjang proses itu, anda perlu membenarkan mereka menghasilkan dan memastikan ia boleh dipasarkan dan diterima oleh pelanggan yang telah mereka kenal pasti sebelum ini,” katanya kepada media yang menganjurkan perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited pada hari ini.

Terdahulu, Akmal Nasrullah menyerahkan surat tawaran kepada dua syarikat tempatan -- Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat ini menerima akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA) bagi mempercepat pembangunan reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan teknologi semikonduktor di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata empat syarikat yang telah menerima token kini berada pada peringkat awal reka bentuk dan menilai akses IP yang diberikan, dengan setiap syarikat menerima akses kepada teknologi yang berbeza mengikut spesifikasi serta pengkhususan cip masing-masing.

Beliau berkata dua lagi syarikat hari ini menerima surat tawaran token di bawah kerangka kerjasama Malaysia dengan Arm menjadikan jumlah keseluruhan token yang telah dianugerahkan setakat ini kepada lapan.

Daripada jumlah itu, beliau berkata empat token adalah bagi CSS dan empat lagi AFA. CSS membolehkan syarikat membangunkan cip atau IP sendiri dengan akses kepada teknologi yang berbeza, termasuk cip berasaskan automasi seperti bagi kegunaan kenderaan serta cip untuk pelayan.

Sementara itu, beliau berkata nilai ekonomi setiap token adalah berbeza bergantung kepada teknologi yang diberikan, pasaran sasaran, rantaian bekalan serta potensi pelanggan yang dikenal pasti oleh syarikat.

Menurutnya, kerajaan turut memberi penekanan supaya aktiviti pembuatan cip berlaku di Malaysia, selain menetapkan keperluan pengambilan jurutera berkemahiran tinggi dalam kalangan rakyat tempatan.

"Jadi, nilaian yang akan kita cuba hasilkan itu berganda bukan hanya kepada keupayaan syarikat itu untuk mengeluarkan cip sendiri tapi juga ikatan-ikatan berkenaan," katanya sambil berkata pusingan seterusnya (pemberian token),  beberapa syarikat masih dalam proses penilaian oleh jawatankuasa teknikal di peringkat kerajaan dan Arm Limited.

Akmal Nasrullah juga berkata bahawa kerajaan masih menggalakkan syarikat yang berminat untuk menyertai kerjasama itu, khususnya bagi token AFA yang memberi peluang kepada syarikat mendapat pendedahan kepada teknologi Arm tanpa perlu terus menghasilkan cip dalam tempoh singkat. "CSS itu memang mereka ada tanggungjawab untuk mereka cipta terus cip yang hendak dihasilkan, tapi AFA ini untuk memberi ruang mereka pendedahan kepada teknologi ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dengan Arm turut merangkumi latihan kepada 10,000 peserta bagi membangunkan bakat dalam bidang berkaitan teknologi semikonduktor dan elektronik.

Beliau berkata latihan berkenaan memberi pendedahan awal kepada sistem Arm, dengan antara syarikat yang mempunyai akses kepada teknologi itu dijangka menjadi antara pihak yang boleh menyerap bakat terbabit ke dalam industri.

Program itu turut menyasarkan pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi termasuk jurutera yang boleh terlibat dalam reka bentuk, penyelidikan dan pengeluaran cip, katanya.

Beliau berkata program latihan Arm menawarkan kursus dalam talian selama 200 jam, selain latihan bersepadu bersama Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) di bawah SIDEC Selangor. Akmal Nasrullah berkata peserta yang mengikuti program bersepadu berkenaan sebelum ini ada yang memperoleh gaji permulaan sekitar RM5,000 hingga RM5,100.

"Pengalaman selepas dua hingga tiga tahun, gaji mereka boleh naik sehingga mencecah RM8,000, RM9,000. Jadi, keperluan itu memang ada, peluang itu ada juga," katanya.

-- BERNAMA