Ekonomi 21/08/2026 01:01 PM

Apex Securities Tingkat Unjuran Eksport Malaysia 2026 Kepada 26.2 Peratus

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Apex Securities Tingkat Unjuran Eksport Malaysia 2026 Kepada  26.2 Peratus

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Apex Securities Bhd menaikkan unjuran eksport Malaysia bagi 2026 kepada 26.2 peratus daripada 16.3 peratus, disokong pertumbuhan eksport yang kukuh dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Dalam satu nota hari ini, firma sekuriti itu berkata unjuran berkenaan selaras dengan tinjauan positifnya terhadap pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.0 peratus tahun ini.

“Bagi tempoh mendatang, kami menjangkakan sektor elektrik dan elektronik (E&E) kekal berdaya tahan dan memacu momentum eksport keseluruhan pada separuh kedua 2026, dengan pertumbuhan struktur dalam kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan segmen industri berkaitan lain menyokong aliran pesanan yang stabil dalam jangka sederhana,” katanya.

Firma berkenaan turut berpandangan positif terhadap eksport komoditi pada separuh kedua 2026, susulan harga minyak mentah yang kekal tinggi serta potensi peralihan perdagangan akibat gangguan di Selat Hormuz yang dijangka menyokong eksport minyak dan gas Malaysia.

Sementara itu, permintaan biodiesel B50 yang lebih kukuh dari Indonesia dijangka terus menyokong permintaan minyak sawit, manakala jangkaan peningkatan fenomena El Niño yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering antara Oktober hingga Disember dijangka menyokong kenaikan harga minyak sawit.

Apex Securities berkata harga minyak sawit meningkat 16.8 peratus kepada RM4,596 satu tan metrik setakat 19 Ogos 2026 berbanding awal tahun ini.

“Bagaimanapun, eksport mungkin berdepan tekanan yang semakin meningkat menjelang akhir tahun. Ini berikutan permintaan terdahulu susulan aktiviti penimbunan stok sebelum ini mula berkurangan, ditambah dengan kesan asas tinggi pada tempoh sama tahun lepas.

“Risiko utama lain termasuk peningkatan semula ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang ketara sehingga menjejaskan permintaan global, selain ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Firma itu berkata Malaysia kekal terdedah kepada risiko tarif lebih tinggi berikutan siasatan di bawah Seksyen 301 AS terhadap lebihan kapasiti yang masih berjalan.

-- BERNAMA