Am 21/08/2026 12:55 PM

Johor Selesai Isu 123 Klinik Daif, Libat Peruntukan RM62.296 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Johor Selesai Isu 123 Klinik Daif, Libat Peruntukan RM62.296 Juta
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon

BATU PAHAT, 21 Ogos (Bernama) --df Isu klinik daif yang menjejaskan perkhidmatan kesihatan di Johor berjaya diselesaikan selepas 123 klinik dinaik taraf membabitkan peruntukan RM62.296 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata kerja naik taraf melibatkan klinik desa dan klinik kesihatan di seluruh negeri menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Beliau berkata kerja berkenaan yang dilaksanakan sejak 2023 dan siap sepenuhnya tahun ini melibatkan peruntukan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi setiap klinik, bergantung kepada keperluan.

“Ada klinik terutama klinik desa yang mempunyai struktur bangunan diperbuat daripada kayu, digantikan dengan bangunan konkrit yang lebih kukuh dan selesa,” katanya selepas Majlis Penyerahan Ambulans Maju Johor di Klinik Kesihatan Semerah di sini hari ini.

Ling berkata kerajaan negeri kini akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemudahan, peralatan dan infrastruktur kesihatan dengan lebih RM60 juta diperuntukkan menerusi peruntukan khas Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi setakat Ogos ini.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk pembelian enam Ambulans Maju Johor bagi memenuhi keperluan mendesak di klinik kesihatan dan hospital, termasuk sebuah yang diserahkan kepada Klinik Kesihatan Semerah.

“Lima ambulans lagi akan ditempatkan di klinik kesihatan di Tangkak, Kota Tinggi dan Mersing serta dua di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru menerusi kerjasama Perbadanan Islam Johor (PIJ),” katanya.

– BERNAMA