Oleh Nurul Syahirah Zulkifli dan Nurrul Huda Ahmad Lutfi
KANGAR, 21 Ogos (Bernama) -- Bagi Nur Hijrah Hayati Mahmud memperoleh pekerjaan bukan sekadar bermakna mempunyai pendapatan sendiri, tetapi menjadi langkah awal untuk membina kehidupan lebih stabil selain membantu meringankan beban ibunya.
Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (Kepujian) berusia 25 tahun itu diterima sebagai penyelia penyelenggaraan di sebuah kilang simen di Perlis pada Mei lepas, setelah berjaya dalam sesi temu duga secara terus melalui Program Perkhidmatan Pekerjaan MYFutureJobs oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Program kerjaya ini menjadi platform memudahkan golongan muda mendapatkan pekerjaan bersesuaian memandangkan zaman sekarang tidak dinafikan agak sukar untuk mencari kerja selepas tamat belajar.
“Saya mengetahui mengenai program ini menerusi media sosial PERKESO Perlis sebelum mengambil keputusan menghadiri sesi temu duga bagi mencari peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi Nur Hijrah Hayati, pekerjaan itu bukan sahaja memberinya pendapatan tetap, malah membuka ruang untuk membina kemahiran dan pengalaman baharu dalam bidang teknikal, sekali gus meningkatkan prospek kerjayanya pada masa depan.
Pengalaman Nur Hijrah Hayati itu mencerminkan akses kepada peluang pekerjaan dan sokongan bersesuaian memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, terutama dalam membantu membina kestabilan ekonomi keluarga.
Menurut Pengarah PERKESO Perlis Ahmad Firdaus Hashim, aspek pekerjaan berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat kerana kestabilan ekonomi turut memberi kesan kepada kehidupan sosial dan emosi sesebuah keluarga.
Beliau berkata program kerjaya yang mempertemukan pencari kerja secara langsung dengan majikan merupakan antara pendekatan untuk memastikan rakyat mendapat akses lebih mudah kepada peluang pekerjaan dan sokongan yang diperlukan.
“PERKESO Perlis menganjurkan 49 program temu duga setakat ini bagi tempoh tahun ini untuk mempertemukan pencari kerja dengan majikan, manakala seramai 523 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan menerusi program kerjaya ini sehingga Jun,” katanya.
Jika peluang pekerjaan membantu membina kestabilan pada peringkat individu dan keluarga, sokongan masyarakat pula memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan rakyat di peringkat akar umbi tidak terpinggir.
Perkara itu dapat dilihat menerusi peranan Komuniti MADANI sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan, khususnya dalam menyampaikan isu setempat serta membantu penduduk mendapatkan akses kepada bantuan dan perkhidmatan yang diperlukan.
Pengerusi Komuniti MADANI Indera Kayangan Utara Dhrampal Singh berkata kesejahteraan tidak seharusnya dilihat daripada aspek bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi sokongan sosial dan kebajikan, kemasyarakatan dan pendidikan.
Beliau berkata kewujudan platform itu memudahkan isu setempat seperti bantuan kepada warga emas dan anak-anak yang ingin melanjutkan pengajian disampaikan kepada wakil rakyat serta agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Saya sudah dua penggal jadi Pengerusi Komuniti MADANI, apa saya boleh katakan ia banyak membantu memudahkan urusan komuniti jika ada sebarang isu, sebagai pengerusi saya boleh membuat aduan terus kepada pihak YB (Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan Gan Ay Ling),” katanya.
Dhrampal berkata hubungan erat dalam komuniti yang mempunyai kira-kira 1,500 penduduk itu turut diperkukuh menerusi aktiviti kemasyarakatan dan program kenegaraan termasuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Perlis Aidatul Shima Che Hassan berkata terdapat 45 Komuniti MADANI di negeri itu yang berperanan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan maklumat, menghubungkan masyarakat dengan agensi berkaitan dan menggerakkan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata kewujudan Komuniti MADANI turut memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan, mendapatkan maklumat yang tepat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan serta bersama-sama menyelesaikan isu di peringkat setempat.
“Komuniti MADANI ini menghimpunkan masyarakat di peringkat akar umbi untuk menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan maklumat, memupuk perpaduan serta menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yang melaluinya kesejahteraan dapat diterjemahkan,” katanya.
Gabungan peluang pekerjaan, jaringan sokongan masyarakat dan akses kepada perkhidmatan berkenaan selari dengan tema HKHM 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang antara lain menekankan usaha memastikan manfaat pembangunan dan kesejahteraan dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
-- BERNAMA