PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Dua syarikat tempatan, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd, menerima akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA) bagi mempercepat pembangunan reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan teknologi semikonduktor di Malaysia.
Kementerian Ekonomi hari ini memaklumkan bahawa surat tawaran kepada kedua-dua syarikat itu diserahkan di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited.
Akses kepada teknologi pengkomputeran Arm berkenaan membolehkan syarikat tempatan mempercepat aktiviti reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan, termasuk dalam bidang dron dan mikroelektronik termaju.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata setakat ini, lapan akses teknologi Arm melibatkan empat Arm CSS dan empat token Arm Flexible Access telah ditawarkan kepada lima syarikat tempatan.
“Dalam pembangunan bakat pula, 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training, daripada sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Seri Nor Azmie Diron.
Terdahulu, Akmal Nasrullah menyerahkan surat tawaran kepada kedua-dua syarikat itu di bawah kerjasama strategik antara kerajaan dan Arm Limited.
Beliau berkata akses kepada teknologi global itu merupakan pemangkin kepada lebih banyak reka bentuk cip, harta intelek dan produk bernilai tinggi dibangunkan di Malaysia.
“Kita mahu akses teknologi global ini pemangkin kepada lebih banyak reka bentuk cip, harta intelek dan produk bernilai tinggi dibangunkan di Malaysia. Ini adalah asas untuk melahirkan syarikat dan jurutera tempatan yang mampu membawa produk cip tempatan ke pasaran global,” katanya.
Kerjasama dengan Arm merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk beralih daripada kekuatan tradisional dalam pemasangan, pembungkusan dan pengujian cip kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk cip serta penyelidikan dalam teknologi termaju.
Dalam usaha memperkukuh saluran bakat, persetujuan bersama dengan 12 universiti, dengan sokongan kementerian, agensi dan industri, telah dicapai bagi menyokong pelaksanaan program Arm On-Demand Training secara lebih tersusun.
“Sinergi antara universiti dan industri penting supaya latihan yang disediakan benar-benar sepadan dengan keperluan syarikat. Ini termasuk penyelarasan kalendar akademik, pengintegrasian modul Arm dalam pembelajaran serta pengiktirafannya sebagai sebahagian daripada latihan industri.
“Kita perlu beralih daripada mengejar kekurangan bakat kepada membina talent pipeline yang tersusun. Bakat mesti dibina sebelum permintaan industri menjadi kritikal. Kementerian Ekonomi, MITI dan KPT akan bekerjasama dalam memastikan pelaksanaan ini disusul dengan kemas supaya sasaran yang telah ditetapkan dapat dicapai,” katanya.
Menurut Akmal Nasrullah, usaha itu selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global dan membina ekosistem teknologi tempatan yang lebih berdaya saing.
Kerajaan juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat teknologi tempatan berkelayakan dan mempunyai keupayaan pembangunan produk serta reka bentuk cip untuk memanfaatkan peluang di bawah kerjasama strategik berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia menyasarkan cip buatan tempatan hasil kerjasama dengan Arm Limited memasuki peringkat pengeluaran dan digunakan dalam rantaian bekalan semikonduktor negara menjelang 2030.
“Syarikat yang menerima akses teknologi melalui token kerjasama itu memerlukan kira-kira tiga tahun untuk membangunkan reka bentuk cip sebelum menghasilkan produk pertama, dengan empat syarikat kini sudah memasuki peringkat reka bentuk dan penilaian harta intelek (IP).
“Sasaran itu mengambil kira tempoh pembangunan reka bentuk, pengeluaran serta keperluan memastikan cip yang dihasilkan boleh dipasarkan dan diterima pelanggan yang dikenal pasti oleh syarikat terbabit.
Akmal Nasrullah memberitahu reka bentuk tersebut mengambil masa kira-kira tiga tahun kerana yang pertama diterima pada akhir tahun lepas, 2028, dan kemudian apabila mereka mula mengilangkan cip berkenaan, sudah tentu perlu melihat kepada tempoh masa itu.
“Sudah pasti, kerana pada masa ini kita telah menyenaraikan empat syarikat untuk memulakan peringkat reka bentuk dan melihat kepada IP berkenaan.
“Justeru, diharapkan..maksud saya, saya tahu saya menetapkan dari segi memiliki reka bentuk itu menjelang 2028, tetapi sepanjang proses berkenaan, anda perlu memberi ruang untuk mereka mengeluarkan dan memastikan ia akan boleh dipasarkan serta diterima oleh pelanggan yang telah mereka kenal pasti lebih awal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata empat syarikat yang telah menerima token kini berada pada peringkat awal reka bentuk dan menilai akses IP yang diberikan dengan setiap syarikat menerima akses kepada teknologi yang berbeza mengikut spesifikasi serta pengkhususan cip masing-masing.
Beliau berkata dua lagi syarikat hari ini menerima surat tawaran token di bawah kerangka kerjasama Malaysia dengan Arm menjadikan jumlah keseluruhan token yang telah dianugerahkan setakat ini kepada lapan.
-- BERNAMA