Am 19/08/2026 07:31 PM

Nilai Al-Quran Pandu Tanggungjawab Bersama Bina Malaysia Sejahtera

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nilai Al-Quran Pandu Tanggungjawab Bersama Bina Malaysia Sejahtera

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Usaha membina Malaysia yang sejahtera tidak boleh diletakkan di bahu pemimpin semata-mata, sebaliknya memerlukan tanggungjawab bersama seluruh rakyat dengan menjadikan nilai al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Mohd Shamsul Hakim Abd Samad berkata setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan kesejahteraan negara dapat dinikmati secara menyeluruh.

Beliau berkata dalam konteks tanggungjawab bersama itu, pemimpin perlu menghasilkan dasar yang baik, adil dan berkesan, manakala rakyat pula perlu menterjemahkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian termasuk aspek kebersihan, integriti dan sikap saling membantu.

“Negara ini bukan milik kumpulan tertentu sahaja…negara kita merupakan satu amanah yang sebenarnya kita kongsi bersama-sama bukan sekadar pimpinannya tetapi rakyatnya, seluruh warganya berkongsi amanah yang sama dengan memastikan kesejahteraan itu sentiasa melebar untuk seluruh warganya.

“Kalau kita mengharapkan integriti itu berlangsung dalam segenap sudut kehidupan masyarakat kita tapi kalau kita tak memulakan daripada diri kita sendiri maka pada ketika itulah apa yang kita harapkan daripada integriti itu takkan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Malaysia #QuranHour: Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’ terbitan Bernama TV hari ini.

Mohd Shamsul Hakim berkata semangat itu selari dengan gerakan Malaysia #QuranHour yang mahu menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat dan membawa mesej al-Quran supaya difahami, direnungi serta diterapkan dalam setiap aspek kehidupan, bukan sekadar membacanya selama sejam.

Beliau berkata selepas 12 kali penganjuran, Malaysia #QuranHour mempunyai nilai besar dalam menghubungkan ilmu al-Quran dengan realiti kehidupan masyarakat.

“Kita tidak mahu al-Quran hanya setakat dibaca, tetapi kita mahu ia sampai memberi kesan kepada cara kita berfikir dan cara kita bertindak,” katanya.

Mengulas tema ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’, Mohd Shamsul Hakim berkata perkataan ‘bingkas’ membawa pengertian bangkit selepas jatuh, namun kebangkitan itu perlu disertai kesedaran, keberanian dan tindakan berlandaskan panduan al-Quran.

Beliau berkata masyarakat tidak seharusnya menyerah apabila berhadapan cabaran termasuk berkaitan ekonomi, kehidupan, keluarga dan peribadi, sebaliknya perlu mencari penyelesaian berpandukan nilai al-Quran.

-- BERNAMA