Am 19/08/2026 07:25 PM

Penang FC Tampil Lebih Mantap, Buru Kelompok Lima Terbaik Liga Super

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penang FC Tampil Lebih Mantap, Buru Kelompok Lima Terbaik Liga Super

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Penang FC mempertaruhkan gabungan pemain lama dan baharu untuk memburu sasaran kelompok lima terbaik Liga Super 2026/2027, dengan skuad Harimau Kumbang kini dilihat lebih kompetitif berbanding musim lepas.

Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata momentum pasukan kini dalam keadaan yang baik dengan pemain menunjukkan perkembangan positif setelah mengharungi persiapan pramusim selama lapan minggu.

“Sejak hari pertama (latihan) hingga sekarang, perkembangan pemain amat baik dan kalau dibandingkan dengan musim lepas, pasukan kali ini lebih ‘bernyawa’,” katanya pada Majlis Pelancaran Jersi Penang FC bagi saingan Liga Super 2026/2027 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Wan Rohaimi berkata pasukannya telah melengkapkan senarai 30 pemain termasuk lapan import, dengan komposisi pemain lama dan baharu hampir seimbang, sekali gus mewujudkan persaingan sihat dalam skuad.

Beliau berkata persaingan itu penting bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap terbaik menjelang aksi pembukaan menentang DPMM FC di Stadium Bandaraya, 23 Ogos ini.

Pengendali berusia 50 tahun itu berkata beliau juga sudah mempunyai gambaran kesebelasan utama, dengan kombinasi yang tidak banyak berbeza daripada aksi pramusim terakhir menentang Persebaya Surabaya, Sabtu lepas.

Wan Rohaimi berkata Harimau Kumbang kini berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus dan menjanjikan cabaran berbeza selepas mengharungi enam perlawanan persahabatan sepanjang persiapan pramusim.

Beliau berkata Penang FC mahu mengutip keputusan positif sejak awal bagi merealisasikan sasaran kelompok lima terbaik, sekali gus mengelakkan daripada mengulangi permulaan kurang meyakinkan seperti musim lepas.

Selain mengekalkan tiga tonggak import, Penang FC turut membawa masuk lima pemain import, iaitu Bakhtiyor Kosimov dan Murodbek Bobojonov dari Uzbekistan, Gayoso Javier Augustine dari Filipina, Enzo Nicholas Jacques Celestine dari Perancis serta Dejan Tumbas dari Serbia.

Skuad Harimau Kumbang menamatkan kempen Liga Super 2025/2026 di tangga kelapan, selain berjaya mara ke pentas akhir Piala Cabaran.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Penang FC Daniel Gooi Zi Sen berkata jersi pasukan musim ini diinspirasikan daripada warisan Peranakan George Town dengan elemen corak dan motif yang mengetengahkan identiti Pulau Pinang serta menghubungkan tradisi dengan generasi baharu menerusi sukan.

-- BERNAMA