Am 19/08/2026 06:27 PM

Sukan Asia: Keperluan Pemakanan Atlet, Termasuk Bawa Cef Dibincang Esok - CDM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sukan Asia: Keperluan Pemakanan Atlet, Termasuk Bawa Cef Dibincang Esok - CDM
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Sukan Asia 2026, Datuk Mohd Sumali Reduan ditemui pengamal media selepas mengadakan lawatan ke sesi latihan persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 Datuk Mohd Sumali Reduan akan mengadakan perbincangan dengan semua pengurus pasukan esok bagi memastikan setiap keperluan atlet, termasuk aspek pemakanan diberi perhatian sewajarnya.

Beliau berkata keperluan membawa cef sendiri ke Jepun antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu, namun keputusan mengenainya masih bergantung kepada setiap pasukan. 

"Setakat ini, perkara berkenaan masih dalam perbincangan. Buat masa ini, kita belum bercadang untuk membawa cef ke sana kecuali jika terdapat keperluan tertentu.

"Perkara ini akan saya bincangkan bersama pengurus pasukan dalam mesyuarat esok dan kita akan lihat maklum balas daripada mereka terlebih dahulu," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan bertemu atlet di sini hari ini.

Sumali berkata pertemuan bersama pengurus pasukan itu juga bagi memberi taklimat, selain mengenal pasti sukan yang berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

Sementara itu, beliau berkata hasil lawatan ke beberapa pusat latihan mendapati persiapan atlet negara kini pada tahap yang baik namun aspek mental perlu terus diberi perhatian menjelang temasya yang semakin hampir.

Beliau berkata atlet daripada sukan seperti e-sukan, angkat berat, renang dan terjun dilihat komited dengan latihan masing-masing, selain berusaha menangani tekanan.

Sumali turut mengingatkan atlet supaya mengelak sebarang kecederaan pada saat-saat akhir kerana keadaan itu boleh menjejaskan prestasi mereka ketika temasya nanti.

Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt depan.

-- BERNAMA