Am 19/08/2026 10:39 PM

Perlis Rancang Teroka Peluang Kerjasama Dengan Brunei, Bangkok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perlis Rancang Teroka Peluang Kerjasama Dengan Brunei, Bangkok

PADANG BESAR, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis merancang meneroka peluang kerjasama dengan Brunei dan Bangkok bagi memperkukuh sektor pelancongan sempadan serta menarik pelaburan khususnya dalam pembangunan hotel bertaraf lima bintang di negeri itu.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata rancangan itu antara usaha kerajaan negeri mengenal pasti peluang baharu dalam usaha melonjakkan ekonomi Perlis.

"Pembangunan kemudahan penginapan bertaraf tinggi ini penting bagi menyokong sasaran kerajaan negeri menarik pelancong ke negeri ini yang dijangkakan meningkat pada masa depan… kita memang menyasarkan dan sedang mencari pelabur untuk membangunkan hotel bertaraf lima bintang.

“Selain Kuala Perlis dan Kangar, kawasan Padang Besar juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi hotel bertaraf tinggi," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak litar permotoran di sini hari ini.

Menyentuh mengenai litar permotoran itu, Abu Bakar berkata pembangunan litar berhampiran kawasan sempadan tersebut juga berpotensi menjadi tarikan pelancongan sukan kepada pengunjung dari Thailand dan negara lain.

Pada 12 Jun lepas, Kerajaan Negeri Perlis merancang pembinaan litar permotoran di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di sini melibatkan lokasi seluas 13.35 hektar dan Abu Bakar berkata ia melibatkan kerjasama Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis dengan sebuah syarikat swasta.

-- BERNAMA