Am 19/08/2026 11:08 PM

YSIJ Sumbang Televisyen Pintar, 2,000 Cermin Mata Kepada Pelajar Di Johor Bahru

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
YSIJ Sumbang Televisyen Pintar, 2,000 Cermin Mata Kepada Pelajar Di Johor Bahru
Kredit: Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) meneruskan komitmen bantuan dalam sektor pendidikan dan kebajikan pelajar di Johor menerusi penyerahan sumbangan 10 unit televisyen pintar serta 2,000 cermin mata kepada sekolah dan pelajar terpilih di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan televisyen pintar berukuran 75 inci itu diserahkan kepada 10 sekolah bagi menyokong proses pembelajaran digital di bilik darjah manakala sumbangan 2,000 cermin mata melalui program jalinan kerjasama strategik bersama dengan Season Optical pula diagihkan kepada 20 sekolah melibatkan murid dalam kalangan keluarga B40.

Program kali ini turut memanfaatkan pengaplikasian teknologi Columba Vision Screener, sebuah mesin pengimbas mata kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran itu, teknologi mesin tersebut berupaya mengesan masalah kerabunan penglihatan individu sepantas 10 saat sekali gus mempercepat proses saringan di peringkat sekolah selain jenis bingkai dan cermin yang digunakan adalah berkualiti, tahan lasak serta tidak mudah patah sesuai untuk kegunaan pelajar sekolah.

Sumbangan itu diserahkan oleh Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe kepada Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid JPN Johor Mohd Khatta Muhamad dan Ketua Pegawai PPD Johor Bahru Adnan Samsudin pada majlis yang berlangsung hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Season Optical Sally Loh.

-- BERNAMA