KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- China memuji Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pendirian teguhnya terhadap prinsip satu China.
“China memuji kenyataan PM Malaysia @anwaribrahim mengenai isu Taiwan dan pendirian teguh beliau terhadap prinsip satu China.
Tiada apa yang dapat menghalang penyatuan semula China,” menurut jurucakap Kementerian Luar China menerusi hantaran di X pada Rabu.
Menurut kenyataan itu komitmen masyarakat antarabangsa terhadap prinsip satu China tidak akan goyah.
Sementara itu, menjawab komen Anwar berhubung Taiwan pada sidang media harian di Beijing pada Rabu, Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata menegakkan prinsip satu China mencerminkan sentimen popular dan berada di pihak yang benar.
"Hanya ada satu China di dunia, dan Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayah China," kata Lin, sambil menambah bahawa penyatuan semula China merupakan trend sejarah yang tidak boleh dihalang, lapor Xinhua.
Anwar dalam satu wawancara dengan Al Jazeera baru-baru ini, berkata beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China. “Ia adalah satu China. Ia diterima oleh semua.”
-- BERNAMA