KUALA TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Program Amal Konvoi Charity Ride PDRM Bersama Ipoh Superbike Club (ISBC) yang tiba di Terengganu hari ini mengambil peluang menyampaikan sumbangan kepada 11 anggota yang ditimpa musibah.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata walaupun kecil, sumbangan tersebut sebagai tanda keprihatinan pihak PDRM terhadap kebajikan warganya yang telah mencurah khidmat bakti kepada masyarakat.
Beliau berkata penerima terdiri daripada anggota dan keluarga anggota PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang mengalami penyakit kronik atau kurang upaya akibat kemalangan ketika bertugas.
"Setiap tahun kita akan menyantuni anggota yang ditimpa musibah di lokasi jelajah terpilih sebagai tanda keprihatinan dan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan.
"Antara penerima kali ini ialah bapa kepada Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee yang meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di Balai Polis Weston, IPD Beufort, Sabah pada 6 Ogos lepas," katanya kepada pemberita pada Program Amal Konvoi Charity Ride PDRM Bersama ISBC di IPK Terengganu di sini, hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad selaku ketua konvoi.
Mohd Khairi berkata selain anggota, pihaknya turut menyampaikan sumbangan tunai kepada Rumah Kebajikan Asrama Anak Yatim Darul Falah bagi bantuan pengurusan, selain mengeratkan hubungan antara polis dan komuniti.
Beliau berkata bersempena Bulan Kebangsaan, sebanyak 200 peserta konvoi mengambil peluang mengibarkan bendera di setiap lokasi jelajah bagi menyemarakkan semangat patriotik.
"Selepas Terengganu konvoi yang sudah memasuki tahun keempat ini akan bergerak ke Pahang, seterusnya ke Johor sebelum berakhir di Kuala Lumpur pada 21 Ogos," katanya.
-- BERNAMA