KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) kembali menghantar pelajar mengikuti pengajian perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir selepas program berkenaan dihentikan pada 2019, dengan 78 pelajar menjadi kumpulan pertama dihantar tahun ini.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penghantaran pelajar itu dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri dengan kos keseluruhan bagi setiap pelajar termasuk penginapan sepanjang lima tahun pengajian dianggarkan RM350,000.
Beliau berkata kos itu dapat dikurangkan susulan diskaun 50 peratus diberikan Universiti Al-Azhar dan jauh lebih rendah berbanding kos pengajian perubatan dalam negara yang boleh mencecah antara RM700,000 hingga RM800,000 bagi setiap pelajar.
“Ini adalah kumpulan pertama yang kita hantar melalui program perubatan yang mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang memberikan persetujuan untuk kita menghantar kumpulan pertama ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata seramai 600 pelajar yang menamatkan pengajian di pusat persediaan MARA akan berlepas secara berperingkat ke luar negara mulai minggu hadapan.
Beliau berkata mereka terdiri daripada pelajar Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan; Kolej MARA Banting, Selangor dan Kolej MARA Kuala Nerang, Kedah yang akan melanjutkan pengajian di beberapa negara termasuk New Zealand, Kanada, Australia, Korea Selatan, United Kingdom dan Mesir.
Dalam pada itu, MARA dalam kenyataan memaklumkan 11 daripada 600 pelajar tajaan MARA berjaya mendapat tempat di Imperial College London, bagi sesi pengajian tahun ini.
Menurut MARA, secara keseluruhan 40 pelajar tajaan agensi itu berjaya mendapat tempat di universiti dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala 107 pelajar diterima masuk ke universiti dalam kelompok 20 terbaik dunia.
-- BERNAMA