SUBANG, 19 Ogos (Bernama) -- Atlet menembak Pahang Cheah Zen Hong berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas kelima pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mengungguli acara 10 meter (m) air pistol individu lelaki di Lapang Sasar Negara di sini hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu turut memadam rekod SUKMA miliknya sendiri, iaitu 231.5 mata selepas melakukan 24 tembakan dengan mengumpul keseluruhan 236.8 mata.
Rakan senegeri Ahmad Danial Hakim meraih perak dengan 234.6 mata manakala atlet Sarawak Lai Muhd Danial membawa pulang gangsa selepas mengumpul 213.3 mata.
Pada aksi final itu, Zen Hong yang pada awalnya ketinggalan berjaya bangkit untuk memintas Ahmad Danial pada dua tembakan terakhir bagi memastikan emas kelimanya pada temasya kali ini.
Kemenangan itu turut menyaksikan Zen Hong meneruskan penguasaan dalam acara berkenaan selepas meraih emas 10m air pistol pada dua edisi, iaitu SUKMA Sarawak 2024 dan SUKMA MSN 2022.
Zen Hong sebelum ini meraih emas 50m free pistol individu dan berpasukan pada Isnin serta 25m rapid fire individu semalam selain turut mengungguli acara 10m air pistol berpasukan lelaki pagi tadi.
Atlet berusia 20 tahun berkenaan ketika mengulas mengenai aksi final itu berkata ketenangan dan fokus terhadap perkara asas seperti yang ditekankan jurulatih menjadi kunci utama kejayaannya bangkit daripada ketinggalan.
“Okey, jujur kata masa mula-mula itu agak gementar tapi saya cuma ingat apa yang jurulatih saya selalu cakap, hanya fokus dan fokus pada perkara asas. Saya bersyukur kerana saya boleh buat benda itu sampailah habis final tadi,” katanya.
Beliau turut berharap dapat mengulangi pencapaian tujuh emas yang diraihnya pada SUKMA Sarawak, namun enggan menjadikan sasaran itu sebagai tekanan.
-- BERNAMA