Am 19/08/2026 01:49 PM

KPDN Serbu Premis Simpan 1,823 Kg Minyak Masak Bersubsidi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Serbu Premis Simpan 1,823 Kg Minyak Masak Bersubsidi

ALOR SETAR, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu sebuah premis pengumpulan minyak masak terpakai di sini semalam kerana menyimpan 1,823 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi tanpa permit.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN Alor Setar susulan maklumat daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berhubung penyelewengan minyak masak itu.

“Pemeriksaan dibuat pada 12 tengah hari dan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mengaku pemilik premis gagal mengemukakan permit menyimpan atau lesen menjual minyak masak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua barang itu disita dengan keseluruhan rampasan bernilai RM5,457.50.

“Pemilik premis turut ditahan bagi membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas proses merakam keterangan serta dokumentasi selesai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

-- BERNAMA