Am 19/08/2026 01:31 PM

Prestasi Anwar Diakui, Kerajaan MADANI Terus Usaha Tingkat Keyakinan Rakyat - Azman

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Prestasi Anwar Diakui, Kerajaan MADANI Terus Usaha Tingkat Keyakinan Rakyat - Azman
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin ketika ditemubual pemberita selepas Majlis Perasmian Program Komuniti STEM Adventure 2.0 Fakulti Perubatan UKM di Bangunan Praklinikal, Fakulti Perubatan UKM hari ini.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Prestasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam aspek pelaburan, ekonomi dan pengukuhan mata wang telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata pencapaian berkenaan membuktikan kemampuan Anwar memimpin Kerajaan MADANI, dan menjadi asas kukuh untuk rakyat memberikan mandat meneruskan pentadbiran bagi penggal kedua.

“Kalau kita lihat dari segi prestasi, tak ada orang yang boleh menidakkan kemampuan Perdana Menteri. Kita tahu dari segi pelaburan, ekonomi, mata wang, kita dapat lihat bahawa kesemua ini diakui, diiktiraf oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Eksplorasi 2.0 ‘Mencungkil Bakat Saintis Muda’ anjuran Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan  Regeneratif, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Azman mengulas pandangan penganalisis politik yang berpendapat Kerajaan MADANI menunjukkan prestasi kukuh dan sewajarnya diberikan ruang untuk meneruskan agenda pembaharuan serta kecemerlangan pada penggal seterusnya.

Azman berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan pencapaian serta manfaat yang dilaksanakan dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat, termasuk menerusi beberapa inisiatif serta pengumuman yang dijangka akan dibuat Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia serta pembentangan Belanjawan 2027. 

Beliau juga yakin rakyat bijak menilai prestasi dan pencapaian kerajaan sebelum membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu, Azman dalam ucapan pada program itu berkata program berkenaan adalah platform untuk mencungkil bakat dan memupuk minat murid dalam bidang sains serta perubatan, selain memberikan pendedahan awal mengenai peluang kerjaya dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata program kali kedua dianjurkan itu melibatkan 200 pelajar tingkatan tiga di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan dan wajar diperluas ke seluruh negara.

“Saya berharap pendidikan STEM bukan lagi satu elektif tetapi ia juga merupakan elemen kelangsungan negara dalam mendepani cabaran kemajuan dan teknologi global.

“Jadikanlah pengalaman sebagai satu batu loncatan serta pembangkit semangat untuk bercita-cita besar. Negarawan dan saintis semua tidak lahir dalam sehari tapi bermula dengan langkah pertama, iaitu mencari ilmu seperti yang kita lakukan hari ini,” katanya.

Antara pengisian program berkenaan termasuklah eksperimen, aktiviti mikrobiologi, pengenalan sistem imun dan peredaran darah serta demonstrasi teknologi pencetakan 3D dalam bidang perubatan.

-- BERNAMA