Dengan kopiah yang menjadi identitinya terletak kemas di kepala dan plak nama terpampang jelas di belakang beliau, Dr Onn Akbar Ali duduk di meja dengan sekotak besar teh herba di hadapannya.
Kononnya mampu mengawal diabetes dengan berkesan, teh dipromosikan oleh pakar kardiologi itu sebagai dapat merawat penyakit tersebut “tanpa ubat, tanpa suntikan, tanpa kesan sampingan”.
Namun, ada satu masalah.
Walaupun gerak-geri dan cincin pada jari kelingking kanannya kelihatan sama, individu dalam video itu bukan Dr Onn. Sebaliknya satu video deepfake dirinya yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Ia agak mengganggu fikiran saya,” kata Dr Onn kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di KPJ Specialist Hospital, Kajang, Selangor.
Selama bertahun-tahun, beliau membina kumpulan pengikut berjumlah ratusan ribu di pelbagai akaun media sosialnya dengan menjawab persoalan pesakit secara terus terang dan mudah difahami.
Kes beliau ini boleh dianggap sebagai antara contoh paling ekstrem, apabila penipu menggunakan wajah dan suaranya untuk membuat dakwaan palsu bagi menjual produk kesihatan dan kesejahteraan yang meragukan.
Dalam pelbagai bentuk penipuan berkaitan perubatan di media sosial dan platform dalam talian, yang selalunya menggunakan AI, terdapat individu yang menyamar sebagai doktor berpengaruh atau mewakili jenama serta penjual tertentu, sama ada untuk menjual produk palsu atau memperdaya pengguna.
Sama ada berita palsu ataupun produk palsu, Internet berdepan masalah keserongan. Menurut golongan profesional perubatan, persatuan dan juga pakar, dengan kemunculan AI, berlaku peningkatan penipuan dan dakwaan palsu dalam industri kesihatan dan kesejahteraan di seluruh dunia.
Penipuan sedemikian bukan sahaja berisiko menjejaskan reputasi dan menghakis keyakinan terhadap pengamal perubatan serta jenama, tetapi yang lebih membimbangkan ialah produk dan dakwaan berkenaan boleh mendatangkan mudarat yang serius ke atas kesihatan dan keselamatan pesakit.
“Ia berbahaya kerana orang menganggap (produk) itu berkesan untuk masalah kesihatan yang mereka alami, sedangkan produk tersebut tidak memberi apa-apa kesan pada keadaan mereka,” kata Dr Onn.
“Teh itu mungkin mengandungi bahan seperti gula atau kafein yang diambil secara berlebihan sehingga menyebabkan paras gula atau kafein dalam badan meningkat mendadak. Bukan sahaja teh itu gagal merawat diabetes, malah boleh mendatangkan kemudaratan lain.”
PEMALSU DAN PENYAMAR
Sejak dahulu lagi, industri kesihatan dan kesejahteraan tidak dapat dipisahkan daripada amalan perubatan palsu. Di sebalik lambakan penjual dan produk yang sah, wujud golongan penjual produk kesihatan palsu yang mengambil kesempatan terhadap individu terdesak.
Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat mengunjurkan pasaran produk makanan tambahan di Malaysia bernilai US$1 bilion menjelang 2030, berbanding US$600 juta pada 2022.
Kewujudan media sosial, AI dan e-dagang mempermudah golongan tidak bertanggungjawab ini mencari mangsa untuk diperdaya; menjadikan usaha melindungi pengguna dan juga memastikan syarikat dalam talian menguatkuasakan piawaian mereka semakin mencabar. Lebih-lebih lagi apabila syarikat teknologi gergasi turut meraih keuntungan daripada urus niaga tersebut.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataannya kepada Bernama, memaklumkan usaha membanteras penjualan dan pengedaran makanan tambahan tidak berdaftar serta ubat-ubatan tiruan semakin mencabar berikutan kemajuan teknologi digital dan perkembangan platform dalam talian.
“Penjualan melalui platform e-dagang, media sosial dan aplikasi pesanan membolehkan produk haram dipasarkan secara meluas, manakala penjual menggunakan identiti palsu dan kerap menukar akaun bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” menurut kementerian itu.
Dari 2023 hingga 30 Jun tahun ini, KKM menjalankan 2,839 serbuan berkaitan makanan tambahan tidak berdaftar dan merampas 1.5 juta produk bernilai lebih RM75 juta.
KKM turut menjalankan 93 serbuan terhadap produk farmaseutikal tiruan dan merampas lebih 4,000 unit bernilai kira-kira RM85,000.
Ahli farmasi juga melihat peningkatan kes penjual menggunakan AI untuk menyamar sebagai mereka di Internet bagi menjual produk kesihatan dan kesejahteraan tidak berdaftar atau tiruan.
Mereka memberitahu Bernama kebanyakan penipu berkenaan mewujudkan akaun menggunakan nama yang hampir sama dengan nama sebenar, termasuk menggunakan tanda atau lambang dagangan berdaftar pada akaun berkenaan.
Tanda dagangan itu lazimnya dipaparkan dengan jelas, namun apabila nama penjual diperiksa, didapati ia didaftarkan di bawah nama yang berbeza.
Sesetengah penjual palsu turut memaparkan surat daripada KKM yang dijana AI, lengkap dengan logo dan nombor pendaftaran, bagi meyakinkan pengguna bahawa mereka adalah penjual yang sah.
Rachel Gan daripada Alive Pharmacy, rangkaian farmasi bebas yang beroperasi di Lembah Klang, berkata beliau mengenal pasti seorang penjual di sebuah platform e-dagang yang menggunakan jenama syarikat berkenaan.
“Sesetengah produk yang dijual (oleh penyamar itu) tidak saya kenali. Tetapi mereka menggunakan jenama kami. Orang ramai pula membeli daripada penyamar itu kerana menyangka mereka membeli daripada kami,” katanya menerusi Google Meet.
Membeli daripada penjual palsu membawa pelbagai risiko.
Sesetengah pengguna, seperti Chan Wai Mun, 54, mungkin menerima produk tiruan. Walaupun ramai pengguna tidak mengalami kesan buruk selepas mengambil produk palsu - keuntungan paling besar penipu adalah apabila mangsa tidak mengalami kesan buruk yang ketara - Chan pula sebaliknya.
Sebagai pesakit kanser yang baru mencapai tahap remisi, dia mengambil BioNerv keluaran BREGO Life Sciences, iaitu makanan tambahan yang bertujuan membantu mengurangkan rasa kebas akibat rawatan kanser. Berkongsi kisahnya dengan Bernama, lelaki itu memberitahu makanan tambahan yang dibelinya di hospital memberi kesan baik.
Masalah bermula apabila dia membeli makanan tambahan itu secara dalam talian selepas bekalan yang dibelinya di hospital habis.
“Beberapa bulan kemudian, ketika saya menjalani pemeriksaan dengan pakar hematologi, beliau sangat terkejut... paras enzim hati saya meningkat dengan begitu tinggi. Hati saya mengalami keradangan,” katanya.
Chan terpaksa dimasukkan ke hospital sehingga paras enzim berkenaan kembali turun.
Mengimbas kembali kejadian itu, Chan berkata sepatutnya dia sudah dapat mengagak sesuatu tidak kena kerana harga produk berkenaan lebih rendah berbanding di farmasi.
Selepas mengetahui pengalamannya, BREGO mengeluarkan amaran kepada pesakit dan pengguna supaya tidak membeli produk mereka secara dalam talian.
“Buat masa ini, kami hanya menjual melalui rakan niaga runcit rasmi seperti Big Pharmacy dan Caring Pharmacy, selain klinik dan hospital. Hanya tiga saluran ini yang menjual produk tersebut. Kami cuba untuk tidak menjualnya secara dalam talian kerana apabila berada di Internet, amat sukar untuk mengawalnya,” kata Valerie Lu, pengurus hal ehwal perubatan dan kawal selia BREGO Life Sciences.
Namun, faktor penarik seperti barang dihantar terus ke rumah, menjadikan pembelian dalam talian kekal sebagai pilihan ramai orang, yang selanjutnya membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab ini untuk mencari mangsa baharu.
MEMUDAHKAN PERNIAGAAN
Shaz, 30, yang enggan mendedahkan nama penuhnya, merupakan penjaga utama bapanya yang terlantar. Justeru, apabila dia melihat lima tin serbuk pengganti makanan dijual dalam talian pada harga RM370, tawaran itu kelihatan terlalu menarik untuk dipercayai begitu sahaja.
“Paling murah, tetapi bukan terlalu murah. Cuma harganya agak mencurigakan,” katanya kepada Bernama menerusi Google Meet.
Shaz kemudian melakukan apa yang disangkanya sebagai usaha wajar. Selepas menyemak penjual, penilaian serta rekodnya di platform e-dagang berkenaan, dia menganggap penjual itu sah. Dalam keadaan tertekan dan terlalu sibuk menguruskan bapanya sehingga tidak berkesempatan ke kedai, Shaz kemudian membeli produk itu secara dalam talian.
Yang diterimanya adalah lima tin serbuk avokado.
Apabila dia membuat aduan kepada platform berkenaan, penjual menolak dakwaannya yang dia telah ditipu, manakala platform itu pula menutup kes berkenaan. Kini, Shaz meneruskan aduannya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Shaz berang kerana baginya platform e-dagang itu seolah-olah tidak mengambil tanggungjawab terhadap tindakan vendor mereka. Ketidakpuasan hati ini turut dikongsikan dalam kalangan pengguna pasaran digital, termasuk di media sosial.
Platform e-dagang memberitahu Bernama mereka melarang penjualan barangan tiruan.
“Kami bekerjasama rapat dengan Persatuan Farmasi Malaysia untuk mengesahkan farmasi dan secara aktif mengeluarkan senarai produk yang melanggar peraturan kami. Kami juga menjalankan pemantauan secara proaktif dan bekerjasama dengan jenama, pihak penguat kuasa serta Kementerian Kesihatan untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap penjual yang melanggar dasar kami, termasuk penggantungan akaun, larangan kekal dan, jika wajar, tindakan undang-undang,” kata Shopee dalam kenyataan bertulis.
Pengguna turut digalakkan melaporkan produk yang mencurigakan atau tiruan melalui pilihan “Report this Product”.
Lazada pula berkata pihaknya mempunyai sistem pengesahan berlapis bagi mengurangkan kejadian seumpama itu.
Namun, seperti mana-mana pasaran dalam talian berskala besar, pelanggaran peraturan masih boleh berlaku. Oleh itu, usaha mencegah, mengesan dan menangani potensi pelanggaran kekal menjadi keutamaan.
“Lazada menerima laporan melalui beberapa saluran, termasuk aduan pembeli, rujukan penjual serta laporan yang dikemukakan oleh jenama dan pemegang hak melalui platform Perlindungan Harta Intelek kami, atau IPP, selain proses pemantauan dan rujukan dalaman.”
Platform media sosial juga menyediakan butang laporan bagi penipuan dan penyamaran, namun pesakit, pengguna serta pakar industri berkata tindakan susulan yang diambil adalah tidak konsisten.
Bagi membendung produk tiruan, KKM mewajibkan label hologram pada semua produk kesihatan dan kesejahteraan yang tulen serta berdaftar.
Setiap produk tulen juga dilengkapi kod QR yang boleh disemak dan disahkan menerusi aplikasi MyUbat kendalian kementerian.
Namun, ramai berpendapat langkah perlindungan dan penguatkuasaan sedia ada masih tidak mencukupi.
Presiden Malaysian Community Pharmacy Guild Sarah Abdullah berkata ahli farmasi menggesa langkah lebih tegas, termasuk mewajibkan penjual pihak ketiga mengesahkan mereka farmasi berlesen.
Beliau turut berkata undang-undang dan peraturan sedia ada perlu dikemas kini supaya selari dengan keperluan bagi urusan secara fizikal.
“Saya perlu melalui semua proses ketat ini (jika mahu) mengiklankan produk perubatan. Tetapi mengapa begitu mudah untuk melakukannya di platform e-dagang? Di mana proses ketat di platform e-dagang? Mengapa berbeza daripada agensi percetakan atau berita? Mengapa mereka dikawal selia secara berbeza?” soalnya.
Harris Zainul, pengarah Centre for Responsible Technology, melihat isu itu dari sudut yang lebih jauh.
Katanya, tanggungjawab mengesahkan, mengesan dan menguatkuasakan tindakan terhadap dakwaan atau barangan tiruan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya pada pengguna.
“Pencegahan dalam hal ini ialah tanggungjawab platform untuk menapis dengan lebih baik pihak yang dibenarkan menyenaraikan ubat dan makanan tambahan di platform mereka,” katanya menerusi WhatsApp.
Walaupun pengguna dan pesakit perlu sentiasa berwaspada ketika membeli produk kesihatan dan kesejahteraan dalam talian bagi mengelakkan pembelian produk tiruan, Harris mengakui bukan mudah untuk menangani isu “doktor deepfake” yang mengabsahkan produk meragukan atau tidak tidak berkesan, atau membuat dakwaan perubatan tanpa bukti kukuh, iaitu situasi yang boleh menyebabkan orang ramai terdorong membeli produk berkenaan.
APA YANG TULEN?
Mengesan video deepfake bukan mudah. Pun begitu, terdapat beberapa pembayang yang menunjukkan video Dr Onn itu bukan orang sebenar.
Dalam satu video, satu daripada poster di dinding menunjukkan ejaan salah bagi exercise sebagai “EXERRCISE”. Tiga plak kayu - satu daripadanya tertera nama beliau - kelihatan tergantung pada langsir.
Perkataan yang dituturkan pula tidak sepadan dengan pergerakan bibir.
Satu lagi tanda amaran ialah nama pada akaun yang tertera sebagai “Dr On Ali”.
Dalam satu lagi video, “deepfake” yang terhasil adalah jauh lebih meyakinkan, dan satu-satunya petanda yang dapat dikesan ialah kadar kelipan matanya.
Secara keseluruhannya, petunjuk berkenaan tidak begitu ketara dan kebanyakannya mungkin terlepas daripada perhatian jika seseorang tidak benar-benar memerhatikannya.
Antara yang terpedaya ialah abang iparnya sendiri yang melihat video pendek itu di Facebook.
“Dia percaya saya mempromosikan teh itu untuk batu karang. Kemudian dia menghantar pautan itu kepada beberapa rakannya dan beberapa daripada mereka membelinya. Kebetulan seorang daripada mereka ialah pesakit saya. Dia membeli dan menggunakan produk itu, kemudian memberitahu saya mengenainya,” katanya.
Dr Onn memberitahu Bernama bahawa beliau sudah banyak kali melaporkan video deepfake dan dakwaan palsu berkenaan kepada platform media sosial, namun hasilnya pelbagai.
Beliau turut meminta pengikutnya membuat laporan beramai-ramai terhadap akaun berkenaan.
Ada kalanya hantaran itu dipadamkan. Pada masa lain, platform terbabit memaklumkan mereka tidak menemukan sebarang pelanggaran pada hantaran tersebut.
Menurutnya, beliau memilih untuk tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa lain selepas melihat pengalaman rakan-rakan sejawatnya.
Mereka pernah membuat laporan kepada pelbagai pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bagi menghentikan penyebaran video berkenaan.
“Mereka (pihak berkuasa) memintanya membuat laporan kepada Facebook,” katanya, sinis.