Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
PETALING JAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak subsidi dan insentif cukai kepada syarikat untuk menyediakan bilik penyusuan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memudahkan para ibu yang kembali bekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Yeo Bee Yin berkata pada masa ini, ramai ibu berdepan cabaran untuk terus menyusukan bayi mereka dengan susu sendiri disebabkan oleh pelbagai kekangan, termasuk ketiadaan bilik khas untuk mengepam susu.
“Ibu yang menyusukan sendiri anak mereka memerlukan sokongan keluarga, majikan dan masyarakat,” katanya pada perbincangan panel bertajuk “Realiti Penyusuan Susu Ibu” semasa pelancaran inisiatif Memperkasa Perjalanan Setiap Ibu oleh Toshiba Lifestyle Malaysia, yang diadakan bersempena dengan Bulan Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026, di sini semalam.
Perbincangan panel itu yang dikendalikan oleh personaliti media Nani Roslan menampilkan perunding laktasi bertauliah dan pakar penjagaan bayi Elizabeth Richard serta pelakon Natasha Hudson.
Yeo yang juga Ahli Parlimen Puchong, berkata isu penyusuan susu ibu dan penjagaan kanak-kanak kurang mendapat perhatian sewajarnya di Parlimen kerana kaum wanita hanya diwakili oleh kira-kira 13.5 peratus daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen.
Sementara itu, Elizabeth berkata para ibu tidak harus menyalahkan diri sendiri apabila berdepan kesukaran dalam penyusuan kerana setiap bayi adalah berbeza.
“Seseorang ibu juga akan belajar perkara baharu semasa menyusukan setiap anak kerana kelakuan bayi serta tahap pengeluaran susu juga mungkin berbeza. Jika anda tidak dapat menyusukan anak, ini bukan bermakna anda gagal sebagai ibu. Ada cara lain yang dapat dilakukan,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon dan ibu kepada lima anak, Natasha Hudson, 44, berkata beliau sendiri sentiasa belajar perkara baharu setiap kali selepas melahirkan kerana pengalaman menyusukan setiap anak adalah berbeza.
Malah, kongsinya, beliau juga terpaksa menggabungkan susu badan dan susu formula untuk anak keempatnya disebabkan pengeluaran susunya berkurang.
“Ketika menyusukan anak keempat inilah saya mendapatkan bantuan daripada perunding laktasi dan mempelajari cara menangani mastitis,” katanya, menambah beliau mendapat sokongan penuh daripada keluarganya sepanjang beliau menyusukan anak.
-- BERNAMA