SANTIAGO, 19 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Chile Jose Antonio Kast pada Selasa mengisytiharkan darurat bencana di wilayah Tocopilla, di rantau Antofagasta di utara negara itu, selepas hujan lebat menyebabkan kerosakan meluas, lapor Xinhua.
“Susulan kerosakan teruk akibat ribut di Tocopilla, saya memutuskan untuk mengisytiharkan darurat akibat bencana bagi wilayah Tocopilla dan menyediakan segala sumber manusia serta kemudahan yang diperlukan untuk menghadapi kecemasan ini,” kata Kast menerusi platform media sosial X.
Hujan lebat di kawasan gurun utara Chile mencetuskan aliran air hujan, lumpur dan batu dari lereng bukit, pemindahan penduduk, kerosakan harta benda serta menjejaskan keluarga.
Datuk Bandar Tocopilla Ljubica Kurtovic memberitahu media tempatan bahawa bentuk muka bumi bandar itu yang dikelilingi lurah menyukarkan usaha tindak balas.
“Kami kini berdepan tragedi, dalam keadaan yang sangat mencemaskan dan menakutkan, dengan aliran deras mula memenuhi lurah, sedangkan Tocopilla dikelilingi rangkaian lurah,” kata Kurtovic.
Beliau berkata jumlah hujan melebihi jangkaan dan langkah mitigasi yang diambil tidak mencukupi.
Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan mengisytiharkan amaran merah serta menggesa penduduk di beberapa kawasan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.
Kementerian Pendidikan mengarahkan sesi persekolahan digantung di rantau Arica dan Parinacota, Tarapaca serta Atacama, selain di Antofagasta, Mejillones, Tocopilla, Taltal dan Sierra Gorda di rantau Antofagasta.
Kementerian Kesihatan memaklumkan lima kemudahan kesihatan tidak dapat beroperasi dan pesakit dipindahkan ke hospital lain.
-- BERNAMA-XINHUA