Am 17/08/2026 10:11 PM

Audit Forensik Boleh Tentukan Gambaran Sebenar Penyata Kewangan - Pakar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Audit Forensik Boleh Tentukan Gambaran Sebenar Penyata Kewangan - Pakar

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Audit forensik boleh membantu menentukan sama ada penyata kewangan memberikan gambaran sebenar dengan meneliti proses dan keputusan di sebalik penyediaannya.

Pensyarah Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Nor Farizal Mohammed berkata audit forensik lazimnya dilakukan selepas timbul aduan, isu atau keraguan serta lebih mendalam dan bersasar berbanding audit biasa.

"Audit forensik bukan sahaja menentukan sama ada sesuatu jumlah itu betul, tetapi menjawab bagaimana transaksi dilakukan, siapa yang membuat keputusan, mengapa ia dilakukan dan siapa yang mendapat manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia dengan topik "RCI Tabung Haji: Perakaunan Kreatif vs Perakaunan Forensik" terbitan Bernama TV hari ini.

Nor Farizal berkata siasatan itu boleh melibatkan penelitian terhadap dokumen asal, invois, e-mel, polisi dan minit mesyuarat serta dijalankan oleh agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau firma profesional yang dilantik kerajaan.

"Sekiranya penyata kewangan memberikan gambaran yang tidak benar, perbuatan itu memang salah. Tindakan seperti menunjukkan keuntungan lebih tinggi, menyembunyikan kerugian, mengiktiraf hasil terlalu awal atau tidak merekodkan penurunan nilai aset boleh dianggap sebagai manipulasi atau penipuan,” katanya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan ia perlu diketahui rakyat, sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat diadakan pada 11 Ogos bagi membahaskannya.

Khamis lepas, SPRM dilaporkan mempertimbangkan khidmat pakar forensik luar negara bagi meneliti pelaburan, perjanjian, kontrak dan minit mesyuarat berkaitan TH, selain telah membuka 14 kertas siasatan serta menahan tujuh individu.

-- BERNAMA