Am 17/08/2026 09:49 PM

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Didorong Prospek Permintaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Didorong Prospek Permintaan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Isnin, disokong harga minyak sayuran lain yang lebih kukuh serta prospek permintaan yang semakin baik.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kenaikan harga minyak sayuran di Bursa Komoditi Dalian memberi rangsangan kepada pasaran tempatan, manakala prospek permintaan yang lebih kukuh dari India turut meningkatkan sentimen.

“Prospek permintaan bertambah baik berikutan peningkatan import minyak makan, khususnya oleh India, apabila pengilang minyak bertapis menambah semula inventori menjelang musim perayaan, termasuk Deepavali pada November,” katanya kepada Bernama.

Menurut Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai, import minyak sawit India melonjak 50 peratus bulan ke bulan kepada 730,965 tan pada Julai, paras tertinggi dalam tempoh lima bulan, manakala jumlah import minyak makan meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan, iaitu 1.48 juta tan.

Ng berkata kebimbangan terhadap fenomena El Niño yang semakin menguat turut menyokong sentimen pasaran berikutan jangkaan keadaan lebih panas dan kering boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit dalam tempoh akan datang.

Pada penutup dagangan, kontrak MSM September 2026 meningkat RM13 kepada RM4,589 setan metrik, kontrak Oktober 2026 naik RM7 kepada RM4,717 setan metrik, manakala kontrak November 2026 menokok RM14 kepada RM4,821 setan metrik.

Kontrak Disember 2026 meningkat RM24 kepada RM4,903 setan metrik, Januari 2027 menokok RM34 kepada RM4,970 setan metrik, manakala Februari 2027 meningkat RM43 kepada RM5,017 setan metrik.

Jumlah dagangan meningkat kepada 129,862 lot daripada 109,995 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 328,798 kontrak daripada 327,575 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Selatan untuk Ogos meningkat RM70 kepada RM4,590 setan metrik.

-- BERNAMA