Am 17/08/2026 09:15 PM

Arwah Ibu Jadi Sumber Inspirasi Isyraq Raih Emas Pertama SUKMA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Arwah Ibu Jadi Sumber Inspirasi Isyraq Raih Emas Pertama SUKMA
Atlet tenpin boling Sarawak, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan beraksi dalam acara perseorangan lelaki akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Sunway Megalanes hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PETALING JAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Kenangan terhadap arwah ibunya menjadi sumber inspirasi terbesar buat atlet boling Sarawak Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan dalam misi meraih pingat emas pertamanya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini, hari ini.

Pada aksi di Sunway Megalanes di sini, atlet berusia 19 tahun itu menampilkan aksi cemerlang dengan menjatuhkan keseluruhan 1,331 pin menerusi enam permainan, masing-masing 206, 279, 187, 231, 194 dan 234, sekali gus muncul juara acara perseorangan lelaki.

Pingat perak menjadi milik Muhammad Adam Darwish Dzulhakimy dari Pulau Pinang dengan 1,283 jatuhan pin, manakala atlet Pahang, Muhammad Sufi Fitri Jumalis, meraih gangsa selepas mengumpul 1,260 jatuhan pin.

Bertanding pada edisi SUKMA buat kali kedua, Isyraq mendedikasikan kejayaan itu kepada arwah ibunya Allahyarham Norlia Morshidi yang meninggal dunia akibat penyakit jantung tahun lalu.

Norlia yang sentiasa menjadi penyokong utama sepanjang perjalanan kariernya dalam sukan boling, terus menjadi sumber kekuatan buat Isyraq meskipun sudah tiada di sisi.

“Pingat emas dan kemenangan ini untuk ibu. Ibu sentiasa ada sejak saya mula bermain boling ketika berusia sembilan tahun,” katanya.

Atlet kelahiran Kuching itu sebelum ini hanya meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan ketika beraksi di laman sendiri pada edisi SUKMA lalu.

Kejayaan itu turut menyemarakkan impiannya untuk menyarung jersi Malaysia pada Sukan SEA 2027, yang bakal menjadi satu lagi pentas penting dalam perjalanan kariernya.

Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu yang dijadualkan berlangsung di empat kluster iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dari 18 hingga 29 Sept.

SUKMA Selangor 2026 yang membuka tirainya pada Sabtu lepas akan berlangsung hingga 24 Ogos.

-- BERNAMA