Am 17/08/2026 09:12 PM

Konsep "Satu Pos, Satu Universiti Angkat" Bakal Diperluas Di Gua Musang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Konsep
Kredit: Siti Maisarah Ahmad

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Konsep “Satu Pos, Satu Universiti Angkat” bakal diperluas di kawasan pedalaman Gua Musang bagi menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan komuniti Orang Asli dalam usaha memperkukuh akses pendidikan masyarakat berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata konsep itu juga antara usaha dilaksanakan menerusi Program Be Ades Ma Kampung bagi merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat Orang Asli dengan agensi kerajaan serta institusi pendidikan.

Beliau berkata Universiti Malaysia Kelantan dan Kolej Poly-Tech MARA telah terlibat bagi siri pertama program berkenaan manakala Universiti Utara Malaysia menyusul pada siri kedua.

“Hasrat saya untuk mewujudkan konsep ‘Satu Pos, Satu Universiti Angkat’ di daerah Gua Musang ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Balar di sini hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata penglibatan institusi pengajian tinggi berkenaan berpotensi memperluas akses pendidikan selain membantu pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli, manakala Agrobank turut dibawa ke kawasan pedalaman menerusi penyediaan kaunter fizikal bagi membolehkan masyarakat membuka akaun simpanan dan meningkatkan literasi kewangan.

Beliau berkata program yang disertai 193 sukarelawan itu turut menyemarakkan Bulan Kebangsaan menerusi edaran Jalur Gemilang serta agihan bakul makanan kepada 1,283 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pos Hau, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

Menurutnya, program jelajah itu turut membantu menyelesaikan isu kemudahan asas termasuk jalan perhubungan desa di Kampung Sempadik dan dewan serba guna di Pos Balar selain pembinaan dewan baharu di Kampung Tapai, Pos Hau.

Mohd Syahbuddin berkata cadangan membuka klinik kesihatan desa di Pos Balar turut diteliti, manakala enam siri program akan dilaksanakan dan kemuncak sambutan dijadualkan berlangsung bersempena dengan Hari Malaysia pada 16 Sept di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.

-- BERNAMA