Am 17/08/2026 08:27 PM

Jerebu, Kesuntukan Masa Tidak Halang Kuartet Wanita Sarawak Cipta Sejarah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu, Kesuntukan Masa Tidak Halang Kuartet Wanita Sarawak Cipta Sejarah
Kuartet 4x100 Sarawak, Danea Humairah Shayman Sufri, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna dan Ormilla Octavia Codday beraksi dalam acara 4x100 meter wanita akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Kompleks Sukan UPM hari ini. Kuartet4x100 Sarawak memenangi pingat emas dengan catatan masa 46.89 saat. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SERDANG, 17 Ogos (Bernama) -- Sarawak mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama dalam acara 4x100 meter (m) wanita di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) selepas mencatatkan masa 46.89 saat (s) pada final di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Kuartet Sarawak yang bermula di lorong lapan terdiri daripada Danea Humairah Sharyman Sufry, Alvinia Aivie Jackly, Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna dan Ormilla Octavia Codday Nyadau.

Kejayaan itu memperbaiki pencapaian gangsa Sarawak pada edisi 2024 di laman sendiri, yang juga merupakan pingat sulung negeri itu dalam acara berkenaan.

Terengganu yang dibarisi pemenang emas 100m wanita, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, memberikan saingan sengit sebelum meraih perak dengan catatan 46.94s, hanya 0.05s di belakang Sarawak, manakala Johor melengkapkan podium dengan gangsa (47.24s).

Ormilla berkata kuartet berkenaan pada awalnya hanya menyasarkan untuk memperbaiki catatan terbaik mereka, iaitu 47.67s, yang dilakar pada Kejohanan Terbuka Malaysia di sini, Jun lalu.

Atlet berusia 20 tahun dari Miri itu berkata mereka pada mulanya menyangka Terengganu memenangi perlumbaan sebelum nama Sarawak muncul di skrin sebagai juara.

“Kami tidak menjangka akan menang. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik untuk Sarawak dan memperbaiki rekod terbaik pasukan. Kami sangat gembira dan bangga kerana berjaya membawa pulang pingat emas untuk negeri,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sarawak, Lim Tek Liong, mengakui kemenangan itu turut di luar jangkaan kerana sasaran awal pasukan hanyalah untuk menamatkan saingan di podium, dengan Terengganu dianggap sebagai pilihan utama.

“Persiapan pasukan turut mencabar kerana keempat-empat pelari berlatih di bawah jurulatih berbeza dan berada di lokasi berlainan, menyebabkan mereka sukar menjalani latihan bersama secara konsisten,” katanya.

Bekas atlet berusia 45 tahun itu berkata, keadaan geografi Sarawak yang luas turut menyukarkan usaha menghimpunkan semua pelari untuk menjalani latihan bersama dan mereka hanya sempat menjalani satu atau dua sesi latihan semasa kem kontinjen.

Malah, katanya ketika itu pun latihan terjejas akibat jerebu.

-- BERNAMA