Am 17/08/2026 09:15 PM

Tulang Di Pantai Batu Ferringhi Disahkan Tulang Kuda, Bukan Manusia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tulang Di Pantai Batu Ferringhi Disahkan Tulang Kuda, Bukan Manusia
Pix: orang awam

GEORGE TOWN, 17 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan beberapa batang tulang yang ditemui di belakang sebuah restoran di kawasan pantai Batu Ferringhi di sini hari ini adalah tulang kuda bukan tulang manusia seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan tulang itu kira-kira 1.30 tengah hari dan anggotanya terus ke lokasi bagi membuat pemeriksaan lanjut.

"Pihak polis yang hadir ke lokasi mendapati tulang itu lebih panjang daripada biasa sebelum pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Dr Chandroth Navin Pankajakshan mengesahkan ia adalah tulang kuda dan bukan tulang manusia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu orang ramai yang melalui kawasan pantai itu gempar dengan penemuan tulang tersebut kerana dikhuatiri sisa rangka manusia sebelum mereka melaporkannya kepada polis.

--BERNAMA