Ekonomi 17/08/2026 08:04 PM

Ekonomi Thailand Tumbuh 1.9 Peratus Pada Suku Kedua 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ekonomi Thailand Tumbuh 1.9 Peratus Pada Suku Kedua 2026

BANGKOK, 17 Ogos (Bernama) -- Thailand mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada 1.9 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku kedua 2026 yang lebih perlahan berbanding 2.8 peratus pada suku sebelumnya, menurut laporan Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) pada Isnin.

Jumlah pelaburan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan menerusi peningkatan 9.1 peratus manakala pelaburan swasta naik 13.4 peratus, didorong oleh perbelanjaan ke atas mesin, peralatan dan kenderaan.

Bagaimanapun, angka pelaburan awam susut 1.6 peratus.

Menurut NESDC, nilai import barangan melonjak 42.3 peratus manakala jumlah import meningkat 27.7 peratus, sekali gus mendorong akaun semasa mencatat defisit 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) pada suku berkenaan.

Dalam laporan itu juga, NESDC menyemak pertumbuhan KDNK suku pertama kepada 2.8 peratus bagi tahun ke tahun dan 0.6 peratus bagi tempoh suku ke suku.

Bagi tahun penuh, majlis itu mengunjurkan ekonomi berkembang 2.0 hingga 2.5 peratus dengan unjuran titik pertengahan 2.2 peratus berbanding jangkaan sebelum ini pada 1.5 hingga 2.5 peratus.

NESDC memaklumkan sektor pelancongan terus berkembang pada suku di bawah kajian berkenaan dengan menjana perolehan hasil berjumlah 663 bilion baht (100 baht = RM12.30) iaitu menokok 6.3 peratus berbanding suku sebelumnya.

Thailand juga berjaya mencatatkan 6.55 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada suku kedua 2026 atau naik 6.3 peratus daripada suku sebelumnya.

Bagi 2026, pertumbuhan ekonomi dijangka disokong oleh pelaburan swasta yang terus kukuh, perbelanjaan isi rumah, eksport barangan selain momentum daripada perbelanjaan kerajaan dan pelaburan awam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Thailand Ekniti Nitithanprapas menyifatkan angka KDNK suku kedua 2026 itu sebagai paparan ekonomi yang menempuh fasa penstabilan dan peralihan dengan pelaburan swasta serta eksport teknologi yang kukuh turut membantu memacu Ekonomi Baharu negara itu.

Angka itu juga, katanya, hampir menyamai unjuran awal Kementerian Kewangan dan hanya mengesahkan lagi unjuran oleh pasukan ekonomi, khususnya kesan daripada konflik di Timur Tengah yang bermula pada akhir Mac serta memberi impak kepada ekonomi secara berperingkat sepanjang tempoh suku terbabit.

“Impak itu bermula dengan krisis minyak sebelum menular kepada kos barangan serta perbelanjaan sara hidup sepertimana inflasi pada suku kedua 2026 yang meningkat kepada 2.7 peratus berbanding negatif 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

“Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan penggunaan swasta yang lebih perlahan kepada 1.9 peratus daripada 3.3 peratus sebelum ini,” katanya.

Walaupun angka pertumbuhan KDNK bagi suku kedua 2026 tidak memuaskan, Ekniti berkata data itu menunjukkan unjuran ekonomi kerajaan serta langkah yang diambil bagi menyokong ekonomi adalah pada landasan yang tepat.

“Ekonomi Thailand sedang berada dalam tempoh penstabilan kerana bergerak ke arah peralihan yang bertujuan untuk kembali mencatat potensi pertumbuhan penuh dalam jangka lebih panjang,” katanya.

-- BERNAMA