KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pertunjukan udara “Melukis Senja” yang menampilkan Pasukan Aerobatik Krisakti antara tarikan baharu sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, yang buat julung-julung kali akan diadakan di Putrajaya, 30 Ogos ini.
Presiden Kumpulan Aerotree merangkap Ketua Pasukan Aerobatik Krisakti Datuk Halim Othman berkata pemilihan waktu senja bertujuan memberi kelainan kepada pertunjukan udara yang lazimnya diadakan pada waktu siang.
“Biasanya pertunjukan udara dan perbarisan diadakan pada waktu siang. Jadi ada kekosongan pada waktu senja yang merupakan masa terbaik kerana orang ramai sudah selesai dengan aktiviti masing-masing, selain kita dapat melihat matahari terbenam,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata dari aspek penerbangan, tempoh peralihan antara siang dan malam yang singkat antara cabaran utama kerana juruterbang perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tahap pencahayaan dalam tempoh terhad.
“Tempoh peralihan antara siang dan malam adalah kritikal dalam penerbangan kerana matahari mula terbenam dan ia sangat singkat,” katanya.
Halim berkata persiapan bagi pertunjukan itu dilakukan sejak satu hingga dua bulan lepas dengan memberi tumpuan kepada aspek perancangan penerbangan, prosedur kecemasan dan keadaan persekitaran termasuk kewujudan bangunan tinggi di kawasan penerbangan.
Beliau berkata sesi taklimat dan latihan turut dilakukan sebelum penerbangan bagi memastikan anggota pasukan bersedia dari segi mental serta memahami tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang keadaan tidak dijangka.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawalan dan Pematuhan Kementerian Komunikasi Kamarudin Abdul Rani berkata pelbagai program sisipan disediakan termasuk pertunjukan udara "Melukis Senja" itu, bagi memeriahkan sambutan HKHM 2026 di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Di Putrajaya selepas pertunjukan udara ‘Melukis Senja’, akan ada Kira Detik dan wayang pacak untuk orang ramai mengisi masa sementara menunggu program perarakan pada esok hari di tapak Riuh Merdeka.
“Di Dataran Merdeka pula akan ada ambang merdeka, pertunjukan bunga api dan perhimpunan merdeka selain Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanatnya di Stadium Merdeka," katanya.
Selain itu, beliau berkata program Quran Hour di Masjid PNB 118 dan perkampungan rakan strategik membabitkan kira-kira penyertaan 50 syarikat yang akan mengadakan pameran serta barangan percuma kepada pengunjung.
“Jadi kita pelawa semua yang hadir di Putrajaya datang ke perkampungan strategik untuk mendapatkan barangan percuma. Jawatankuasa penajaan juga akan membuat edaran makanan, minuman kepada pengunjung,” katanya.
-- BERNAMA