Am 17/08/2026 06:45 PM

Semarak Merdeka: Jalur Gemilang Megah Menghiasi Ibu Kota, Jiwa Patriotik Rakyat Membara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Semarak Merdeka: Jalur Gemilang Megah Menghiasi Ibu Kota, Jiwa Patriotik Rakyat Membara
Jalur Gemilang menghiasi kawasan Blok 35 sebagai persiapan penduduk menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2026 ketika tinjauan pemasangan bendera di ibu negara.

Oleh Muhammad Aiman Naufal Abdullah

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Bahang sambutan Hari Kebangsaan 2026 mula menyelubungi segenap pelosok ibu kota dengan kibaran megah Jalur Gemilang menterjemahkan semangat cintakan tanah air yang membara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tinjauan Bernama di Perumahan Awam (PA) Sri Perak, Sentul di sini mendapati kibaran bendera keramat itu menghiasi kawasan perumahan terutama di Blok 35, hasil inisiatif komuniti yang mahu menyemarakkan suasana menjelang detik 31 Ogos ini.

Ketua Blok Muhammad Fuad Mahmud, 63, menyifatkan tradisi menghiasi kawasan kediaman itu dengan Jalur Gemilang menjadi agenda tahunan yang dipelihara bagi menyuntik kesedaran sejarah dan semangat patriotisme, khususnya kepada generasi muda.

“Perkara seperti ini penting khususnya untuk generasi muda, sekurang-kurangnya mereka tahu apabila bendera dipasang, ada sesuatu yang besar bakal berlaku,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Muhammad Fuad, yang tidak pernah melepaskan peluang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun, menganggap kehadirannya di lapangan sebagai manifestasi rasa bangga dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan negara.

“Setiap tahun saya akan pergi tengok perarakan Hari Kebangsaan. Bagi saya, itu satu cara untuk kita bersama-sama meraikan kemerdekaan dan menunjukkan rasa cinta kepada negara,” katanya.

Semangat patriotik itu turut terlihat di Bazaar Jalan Melayu apabila para peniaga mula mempamerkan pelbagai aksesori kreatif bertemakan Jalur Gemilang, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Peniaga bazaar, Syed Yusof Abdullah, 66, berkata jualan tanjak bermotifkan Jalur Gemilang miliknya mendapat sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada warga tempatan malah pelancong asing yang mahu menjadikannya sebagai kenangan eksklusif.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus ada semangat kemerdekaan. Dengan jualan ini, pelanggan bukan sahaja membeli, tetapi dapat merasai nikmat kebebasan dan menghargai sejarah perjuangan tanah air yang penuh dengan cabaran,” katanya.

Beliau berkata generasi muda perlu terus memandang ke hadapan dan pada masa sama menghayati jerih perih pejuang tanah air, selain turut mengingatkan mereka supaya sentiasa mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan moden.

"Harapan saya kepada generasi yang akan datang, khususnya anak-anak muda sentiasa melihat ke hadapan dengan menghayati apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu, terus pertahankan kemerdekaan diri serta memelihara negara daripada sebarang bentuk penjajahan moden," katanya.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Putrajaya.

-- BERNAMA