KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao dan perseorangan wanita K.Letshanaa membuka kempen Kejohanan Badminton Dunia dengan langkah kanan apabila masing-masing melepasi saingan pusingan pertama di New Delhi, India, hari ini.
Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 dunia mengambil masa 46 minit untuk menewaskan wakil Brazil, Jonathan Matias, 21-19, 21-15, untuk berdepan cabaran getir apabila dijadual menentang pemain nombor sembilan dunia dari China, Li Shi Feng pada pusingan kedua di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Shi Feng membuka kempen dengan mudah apabila mengatasi pemain Kazakhstan, Dmittriy Panarin 21-7, 21-10.
Dalam pada itu, Letshanaa, pemain ranking ke-31 dunia, dengan mudah mara ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Uganda, Fadilah Shamika Mohamed Rafi 21-11, 21-7, dalam tempoh 25 minit untuk menentang pemain nombor tiga dunia, Wang Zhi Yi dari China.
Zhi Yi hanya mengambil masa 36 minit untuk mara ke pusingan kedua dengan menewaskan pemain Amerika Syarikat, Zhang Beiwen, 21-12, 21-13.
Terdahulu, beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King turut menepati ramalan melepasi halangan awal selepas mengetepikan cabaran pasangan Vietnam, Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh 21-9, 21-13.
Pada pusingan kedua esok, beregu lelaki negara yang menghuni ranking ke-19 dunia itu akan berdepan pilihan ke-12 dari Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, yang mendapat bye pada pusingan pertama.
Sementara itu, beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting turut melangkah ke pusingan kedua pada penampilan sulung selepas menewaskan pasangan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantermyr, 21-17, 21-12, dalam tempoh 33 minit.
Bagaimanapun, laluan mereka selepas ini berdepan ujian besar apabila dijadual menentang pilihan kedua dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada pusingan kedua.
-- BERNAMA