Am 17/08/2026 05:45 PM

Celestica Akan Wujudkan Lebih 2,100 Peluang Kerja Di Malaysia, Sokong Pertumbuhan AI

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Celestica Akan Wujudkan Lebih 2,100 Peluang Kerja Di Malaysia, Sokong Pertumbuhan AI
Kredit: Celestica Inc

GEORGE TOWN, 17 Ogos (Bernama) -- Celestica Inc dijangka menambah lebih 2,100 lagi pekerjanya di Malaysia, seiring dengan peningkatan permintaan global terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.

Pada masa ini, syarikat itu mempunyai lebih daripada 6,000 pekerja di seluruh Malaysia dengan operasi menumpukan perkhidmatan untuk pelanggan pelbagai industri, termasuk penyedia perkhidmatan awan berskala besar, teknologi perusahaan, komunikasi, aeroangkasa, perindustrian, teknologi kesihatan dan peralatan atau kelengkapan modal.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat infrastruktur pusat data dan penyelesaian teknologi maju yang berpangkalan di Toronto, Kanada, memaklumkan pengambilan pekerja terbabit merangkumi jawatan bernilai tinggi dalam bidang pengeluaran dan kejuruteraan reka bentuk yang melengkapi usaha Celestica memperkukuh keupayaan pembuatan dan teknologinya di negara ini.

“Malaysia berperanan penting dalam operasi global serta strategi pertumbuhan Celestica. Oleh kerana permintaan terhadap infrastruktur AI dan pengkomputeran awan terus meningkat, Celestica turut melabur dan mengembangkan lagi keupayaan di Malaysia, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini,” menurutnya.

Celestica juga kekal komited untuk menyokong pembangunan tenaga kerja Malaysia yang sejajar dengan peralihan negara ke arah ekonomi bernilai tinggi dipacu teknologi menerusi pembangunan tenaga kerja serta peluang bagi kemajuan kerjaya,” menurut Celestica.

Sebahagian daripada komitmen itu melibatkan syarikat berkenaan mengendalikan program pelatih pengurusan selama dua tahun yang menyediakan penuntut tahun akhir universiti di seluruh Malaysia serta siswazah mengikuti pengalaman latihan industri secara langsung, pembangunan profesional serta peluang bimbingan. 

Syarikat itu berhasrat mendapatkan profesional bagi pelbagai tugasan melangkaui kejuruteraan, termasuk kewangan, modal insan, teknologi maklumat dan rantaian bekalan.

Mereka yang berminat boleh mengunjungi laman kerjaya syarikat di laman sesawang www.celestica.com bagi mengenal pasti peluang di Malaysia.

Celestica yang beroperasi di Malaysia sejak 1985, mempunyai sembilan kemudahan di serata Kedah, Pulau Pinang dan Johor yang merangkumi ruang seluas lebih dua juta kaki persegi membabitkan kemudahan pengeluaran, reka bentuk serta perkhidmatan perniagaan global.

-- BERNAMA