Am 17/08/2026 05:32 PM

SUKMA 2026: Muhammad Sayyid Temui Semula "Larian Emas" Menerusi 400m

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SUKMA 2026: Muhammad Sayyid Temui Semula
Muhammad Sayyid Amin Roslan

SERDANG, 17 Ogos (Bernama) -- Dua tahun selepas mengungguli 200 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, atlet Pulau Pinang Muhammad Sayyid Amin Roslan memperlihatkan sisi lain kehebatannya dalam acara pecut apabila meraih pingat emas 400m pada temasya Selangor 2026 di sini, hari ini.

Muhammad Sayyid mencatat masa 47.20 saat (s) di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus memperbaiki catatan terbaik peribadinya sebelum ini, 47.68s, meskipun baru kembali ke trek minggu lepas selepas berehat tiga bulan akibat kecederaan hamstring pada kedua-dua belah kakinya.

Beliau berkata keputusan menyertai acara 400m dibuat kerana acara itu bersesuaian dengan keadaan fizikalnya ketika ini serta latihan stamina yang dilakukan, selain mahu memberi keutamaan kepada proses pemulihan dengan harapan dapat kembali lebih kuat dan mencapai tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Bagi saya, ini kemunculan semula yang sangat baik selepas tiga bulan lepas saya mengalami kecederaan pada kedua-dua hamstring dan hanya kembali ke trek untuk sesi pertama latihan minggu lepas. Saya sendiri terkejut dengan keputusan hari ini.

“Ini bukan bermakna saya tidak bersedia untuk bersaing dalam 200m, cuma saya tahu acara mana yang lebih sesuai untuk saya ketika ini, jadi saya memilih 400m. Saya melakukan beberapa latihan stamina dan ia memberikan saya keyakinan untuk menyertai 400m,” kata atlet berusia 19 tahun itu selepas perlumbaan.

Pelari Selangor, Muhammad Daniel Haqiem meraih pingat perak dengan 47.61s, manakala Muhammad Farhan Mohd Isrulnizam dari Pulau Pinang berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 47.66s.

Rekod temasya 46.78s dicatat oleh jaguh 400m kebangsaan dari Johor, Umar Osman pada edisi sebelum ini di Sarawak, manakala rekod kebangsaan 45.73 saat turut menjadi milik Umar.

Sementara itu, atlet Johor, Nor Malisya Mohd Ishak meraih pingat emas acara 400m wanita selepas mencatat masa 55.93 saat.

Nor Aliya Najihah Muda dari Terengganu meraih perak dengan catatan 56.76 saat, manakala wakil Sarawak, Ormilla Octavia Codday Nyadau, melengkapkan podium selepas memenangi gangsa dengan masa 57.03 saat.

-- BERNAMA