KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) bakal menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dari lebih 20 negara bersempena Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON2026) edisi kesembilan, yang dijadual berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) pada 8 dan 9 Sept ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dijangka merasmikan kongres berkenaan yang menjadi platform meneroka penyelesaian inovatif berasaskan kejuruteraan dan teknologi bagi memperkukuh keselamatan tenaga, menyokong kehidupan lestari serta memulihkan modal semula jadi ke arah pembangunan jangka panjang yang mampan.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ESTCON2026 yang bertemakan Technology, Resilience and Regeneration: Engineering Pathways to a Sustainable Future, bakal menghimpunkan pemimpin industri, wakil kerajaan, pembuat dasar, penyelidik serta profesional teknikal bagi menangani beberapa cabaran paling mendesak yang membentuk masa depan masyarakat dan industri.
“Dalam konteks ini, ESTCON2026 menjadi platform menghubungkan hasil penyelidikan dengan keperluan industri bagi mempercepatkan pembangunan penyelesaian yang inovatif dan berskala dalam menangani cabaran berkaitan keselamatan tenaga, kehidupan lestari dan pembangunan regeneratif.
“Program tersebut akan menampilkan lebih 30 penceramah bertaraf dunia daripada bidang akademik, industri dan kerajaan, selain lebih 330 pembentangan kertas teknikal yang meliputi bidang utama seperti infrastruktur lestari, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan bahan termaju,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, kongres berkenaan akan berteraskan kepada tiga persidangan khas antarabangsa iaitu Persidangan Antarabangsa mengenai Kehidupan Lestari (ICSL), Persidangan Antarabangsa mengenai Keselamatan Tenaga (ICES) dan Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Regeneratif (ICRF).
“ICSL fokus kepada kemajuan dalam persekitaran binaan berdaya tahan, ekosistem digital pintar dan infrastruktur lestari yang meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat. ICES pula meneliti hala tuju sistem tenaga boleh dipercayai, mampu milik dan rendah karbon menerusi inovasi dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, infrastruktur tenaga serta dasar sokongan.
“Sementara itu, ICRF pula meneroka pendekatan bersepadu dari aspek sains, teknologi dan dasar bagi memulihkan ekosistem, menjana semula modal semula jadi serta membina masa depan yang berdaya tahan dan regeneratif untuk komuniti serta industri,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhan, ketiga-tiga persidangan itu menyediakan platform pelbagai disiplin untuk meneroka penyelesaian meliputi komuniti lestari, sistem tenaga berdaya tahan dan pembangunan regeneratif, selain menggalakkan kerjasama rentas bidang dalam menangani cabaran kejuruteraan dan kelestarian kompleks masa kini.
“Kongres berkenaan juga akan menampilkan Pameran Teknologi dan Inovasi dengan mengetengahkan penyelesaian kejuruteraan, teknologi digital serta inovasi berteraskan industri yang baharu muncul, selain menyediakan platform kepada organisasi untuk memperlihatkan keupayaan terkini, menjalin hubungan dengan bakal rakan kerjasama serta meneroka laluan bagi menterjemahkan hasil penyelidikan dan inovasi kepada impak sebenar,” menurut kenyataan itu.
Selain kandungan teknikal, ESTCON2026 turut berperanan sebagai forum strategik bagi dialog antara pemimpin industri, pembuat dasar, penyelidik dan penyedia teknologi, sekali gus membolehkan pihak berkepentingan meneroka peluang baharu, memperkukuh kerjasama serta membentuk hala tuju ke arah masa depan lebih lestari, berdaya tahan dan berdaya saing.
Presiden UTP Ir. Mohamed Firouz Asnan berkata penganjuran ESTCON tahun ini dirangka khusus berlandaskan cabaran utama yang bakal menentukan masa depan masyarakat dan industri, iaitu keselamatan tenaga, kehidupan lestari dan masa depan regeneratif, sekali gus mencerminkan kecemerlangan penyelidikan UTP serta komitmennya dalam memajukan penyelesaian yang memberikan impak bermakna dari segi ekonomi, alam sekitar dan kemasyarakatan.
“Dengan menghimpunkan para penyelidik, pemimpin industri, pembuat dasar dan peneraju inovasi teknologi, ESTCON2026 mengakui bahawa cabaran kompleks berkaitan keselamatan tenaga, kehidupan lestari dan daya tahan iklim tidak boleh ditangani oleh mana-mana kumpulan berkepentingan secara bersendirian.
“Kemajuan yang lebih bermakna memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh masyarakat yang menggabungkan kecemerlangan penyelidikan, kepakaran industri dan dasar yang mendukung serta inovasi teknologi,” katanya.
Beliau berkata melalui penyatuan keupayaan dan perspektif tersebut, kongres berkenaan diharap dapat mempercepatkan pembangunan dan penerimaan penyelesaian yang mampu menghasilkan impak berkekalan, sekali gus membantu membina dunia yang lebih lestari, berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa depan.
Menurut UTP, menyedari kepentingan penyertaan meluas daripada pelbagai pihak, ESTCON2026 turut membuka penyertaan kepada delegasi bukan pembentang (NPD) bagi membolehkan jurutera, pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan wakil kerajaan menyertai kongres itu sepenuhnya tanpa perlu mengemukakan kertas teknikal.
“Melalui ucaptama, sesi teknikal, perbincangan panel serta Pameran Teknologi dan Inovasi, peserta akan mendapat akses kepada perkembangan terkini industri, trend teknologi dan pandangan strategik yang membentuk masa depan kelestarian tenaga serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab.
“Peserta NPD layak memperoleh mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang diiktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). ESTCON2026 juga merupakan program yang boleh dituntut di bawah HED Corp,” menurut kenyataan itu.
Bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas, kadar yuran pendaftaran istimewa ditawarkan kepada kumpulan korporat, alumni UTP serta ahli aktif BEM, MBOT dan Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC)
Pendaftaran kini dibuka dan pendaftaran secara walk-in turut dialu-alukan kepada NPD. Untuk maklumat lanjut pendaftaran serta perkembangan terkini program berkenaan boleh layari estcon.utp.edu.my
-- BERNAMA