Am 17/08/2026 06:01 PM

J&T Express Malaysia Sumbang RM630,000 Jayakan HKHM 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
J&T Express Malaysia Sumbang RM630,000 Jayakan HKHM 2026
Kredit: J&T Express

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- J&T Express Malaysia telah menyumbangkan tajaan sebanyak RM630,000 sebagai penaja logistik rasmi dan penaja emas, untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Syarikat kurier itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sumbangan tajaan tersebut, telah disampaikan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik HKHM 2026, yang dirasmikan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

J&T Express Malaysia merupakan antara 139 rakan strategik, yang jumlah gabungan sumbangan mereka mencecah RM48.63 juta bagi menyokong sambutan di seluruh negara, pada tahun ini.

Menurut kenyataan itu sebagai sebahagian daripada tajaannya, J&T Express Malaysia menyediakan perkhidmatan pengangkutan darat dan kargo udara, selain menaja kemeja-T HKHM 2026, beg bertali dan baucar penghantaran.

Sementara itu, Naib Presiden J&T Express Malaysia Vincent Low berkata syarikat itu berbesar hati untuk menyokong HKHM 2026, sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk berbakti kepada masyarakat dan menyokong inisiatif kebangsaan yang bermakna.

“Sebagai sebuah syarikat logistik yang berkhidmat untuk komuniti di seluruh Malaysia, kami percaya adalah penting untuk kami memainkan peranan dalam menyokong acara yang menyatukan rakyat Malaysia.

“Daripada pengangkutan darat hinggalah sokongan kargo udara untuk sambutan Hari Malaysia di Kuching, kami komited untuk membantu memastikan rakyat, sumber dan acara sambutan, kekal terhubung di seluruh Malaysia. Kami tidak sabar untuk meraikan acara istimewa ini bersama rakyat Malaysia dan menyokong kejayaan HKHM 2026,” katanya.

J&T Express Malaysia akan menyediakan sokongan logistik untuk program-program utama HKHM 2026, termasuk sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak, bagi memastikan pergerakan bahan acara tepat pada masanya di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Sebagai antara penyedia perkhidmatan logistik terkemuka di Malaysia, syarikat ini berbangga dapat memainkan peranan dalam meraikan perpaduan negara, di samping menyokong kelancaran penganjuran satu daripada sambutan tahunan paling penting di Malaysia.

-- BERNAMA