Am 17/08/2026 03:36 PM

Nurul Aisyah Cipta Sejarah, Hadiah Emas Boling Pertama Buat Perlis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nurul Aisyah Cipta Sejarah, Hadiah Emas Boling Pertama Buat Perlis
Nurul Aisyah Salleh

PETALING JAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Keputusan bekas pemain Johor Nurul Aisyah Salleh mewakili Perlis dalam acara boling pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 membuahkan hasil lumayan apabila mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas pertama buat negeri itu di sini, hari ini.

Lebih manis, Nurul Aisyah yang mengumpul 1,344 jatuhan pin dalam acara perseorangan wanita turut meraih pingat emas SUKMA pertama dalam penampilan ketiganya pada temasya berkenaan.

Atlet berusia 18 tahun itu menewaskan pilihan tuan rumah Adania Mohd Redzwan yang mengumpul 1,306 jatuhan pin, manakala Nur Alya Qaisara Noor Fazemil dari Perlis melengkapkan podium dengan 1,287 jatuhan pin.

Nurul Aisyah yang mewakili Johor pada edisi 2022 dan 2024 berkata dia tidak menyangka dapat beraksi pada temasya tahun ini selepas terpaksa berehat bagi memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

“Ketika itu, saya ambil SPM dan terpaksa berehat agak lama selain tidak dapat mewakili Johor. Kemudian ketua jurulatih Perlis (Nurzul Mubarak) menawarkan saya peluang untuk main,” katanya.

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan Majlis Sukan Negeri Perlis kerana memberi peluang untuk beraksi pada SUKMA kali ini. Saya gembira kerana dapat menyumbangkan pingat emas buat Perlis selepas sekian lama,” katanya.

Kemenangan hari ini amat bermakna buat Nurul Aisyah, yang sebelum ini menempuh pengalaman manis dan pahit sepanjang penyertaannya dalam SUKMA.

Pada edisi 2022, dia meraih satu-satunya pingat menerusi acara beregu wanita bersama Anis Hannani Romzi untuk Johor, sebelum pulang tanpa sebarang pingat pada edisi lepas di Sarawak.

Kejayaan Nurul Aisyah pada edisi kali ini lebih bermakna apabila diraih dalam keadaan masih bergelut dengan kecederaan pinggang yang dialami ketika sesi latihan rasmi.

“Saya ingat mungkin tidak dapat buat yang terbaik dalam acara perseorangan, tetapi jurupulih perubatan fisioterapi ada membantu saya sedikit malam tadi,” katanya.

SUKMA Selangor 2026 membuka tirainya secara rasmi pada Sabtu lepas dan berlangsung hingga 24 Ogos.

-- BERNAMA