KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Selama bertahun-tahun, harapan Malaysia untuk meraih pingat bagi seni pertahanan diri dalam temasya sukan utama lebih banyak disandarkan kepada karate, wusyu, taekwondo dan silat.
Kini, judo muncul sebagai kuasa baharu selepas Amir Daniel Abdul Majeed menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sukan judo pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, baru-baru ini.
Kejayaan bersejarah dalam kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki itu mendorong Persekutuan Judo Malaysia (MJF) untuk memasang impian yang lebih besar, dengan harapan menjadikan judo sebagai kuasa besar sukan dan sumber pingat yang boleh diharapkan buat Malaysia.
Presiden MJF Datuk Andrew Lim berkata kejayaan Amir Daniel itu dapat menjadi titik permulaan kepada lembahan baharu bagi sukan judo di negara ini.
"Saya fikir pencapaian hebat ini bukan sahaja untuk judo, tetapi juga untuk Malaysia. Kami amat berbangga dapat mencapai kejayaan ini untuk negara kita sendiri," katanya kepada Bernama.
Pada edisi Glasgow 2026, Amir Daniel berjaya meraih emas selepas menewaskan Timothy Meuwsen dari Afrika Selatan menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit di Scottish Event Campus (SEC).
Kejayaan itu lebih bermakna apabila Amir Daniel, yang menghuni ranking ke-117 dunia, berjaya menewaskan Meuwsen yang berada di kedudukan ke-41 dunia, sekali gus memaksa lawannya berpuas hati dengan pingat perak.
Andrew berkata impian persekutuan itu tidak terhenti setakat kejayaan Amir Daniel, sebaliknya berharap pencapaian atlet berusia 21 tahun itu dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pejudo Malaysia yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Beliau berkata matlamat utama ialah mewujudkan laluan pembangunan judo yang lebih kukuh, sambil mengakui bahawa pembiayaan mencukupi amat penting untuk menyediakan atlet dengan pendedahan kepada pertandingan antarabangsa, kejurulatihan berkualiti dan sokongan perubatan sukan.
Berhubung peningkatan prestasi Amir Daniel, Andrew berkata perkembangan itu ialah hasil kerja keras atlet berkenaan yang sebelum ini merangkul pingat gangsa dalam kategori bawah 73 kg lelaki semasa edisi Birmingham 2022, menghadiahi Malaysia pingat emas pertama dalam tempoh 44 tahun pada Sukan SEA di Thailand tahun lepas bagi kategori bawah 81 kg lelaki, seterusnya mencipta kejayaan menakjubkan di Glasgow.
Sehubungan dengan itu, Andrew berkata MJF berharap atlet kelahiran Pulau Pinang itu dapat mengekalkan momentum dan cabarannya untuk menduduki podium pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, diikuti kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt, manakala LA 2028 dijadualkan bermula dari 14-30 Julai.
-- BERNAMA