PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap seorang pengundi.
Panel tiga hakim, iaitu Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan, Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun turut memerintahkan Leow membayar kos berjumlah RM50,000.
Hakim Azizul berkata perkataan yang dipertikaikan itu membawa maksud berunsur fitnah yang menjurus kepada ketidakjujuran.
“Bagaimanapun, ketidakjujuran itu tidak merujuk kepada plaintif (Leow),” kata hakim itu.
Azizul berkata setakat mana hantaran itu berkaitan dengan plaintif, beliau cuma didakwa gagal mengambil tindakan dan hanya boleh ditafsirkan sebagai tidak kompeten.
Beliau berkata bagaimanapun dalam plidingnya Leow tidak menyatakan bentuk fitnah yang lebih ringan.
Leow, yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor dari 2018 hingga 2022 memfailkan saman fitnah terhadap M. Ravi pada 2021 berhubung satu hantaran Facebook pada 17 Julai 2020 berhubung pembinaan sebuah sekolah.
Beliau mendakwa hantaran itu telah mencemarkan reputasi serta kedudukannya sebagai ahli Parlimen dan ahli politik.
Leow, menuntut ganti rugi am dan teruk serta injunksi bagi menghalang Ravi daripada membuat sebarang penerbitan mengenai dirinya.
Pada 8 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan saman itu.
Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Shamsher Singh Thind, Gunamalar Joorindanjn dan Ching Jee Joo mewakili Ravi, manakala Datuk T. Anandan, A. Arvinanda Moorthy dan Nur Fatin Farzana Redzuan mewakili Leow.
-- BERNAMA