Dunia 17/08/2026 12:02 PM

Dua Lagi Gempa Sederhana Landa Flores, Tiada Ancaman Tsunami

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Lagi Gempa Sederhana Landa Flores, Tiada Ancaman Tsunami

JAKARTA, 17 Ogos (Bernama) -- Dua lagi gempa bumi sederhana melanda perairan sekitar Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia awal Isnin, dua hari selepas gempa kuat berukuran 7.7 magnitud menggegarkan kawasan itu.

Menurut data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) di laman sesawangnya, gempa terbaharu berukuran 5.8 magnitud berlaku pada 7.46 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa terletak di laut kira-kira 40 kilometer timur laut Nagekeo pada kedalaman 10 kilometer.

Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Nusa Tenggara Timur termasuk Nagekeo, Ende, Manggarai, Ngada dan Manggarai Timur.

Terdahulu, gempa berukuran 5.0 magnitud berlaku pada 12.26 tengah malam, dengan pusat gempa di laut kira-kira 75 kilometer timur laut Ruteng di Manggarai, juga pada kedalaman 10 kilometer.

BMKG memaklumkan kedua-dua gempa itu tidak mencetuskan tsunami dan menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan.

Dua gempa berkenaan berlaku dua hari selepas gempa kuat melanda perairan pulau itu pada awal pagi Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya 53 orang, mengakibatkan 135 cedera serta menyebabkan kerosakan meluas di seluruh Nusa Tenggara Timur.

Timbalan Pencegahan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari pada Ahad berkata BMKG merekodkan 995 gempa susulan setakat 3 petang waktu tempatan, walaupun hanya sebilangan kecil daripadanya dirasai penduduk.

Laporan terdahulu menyebut seramai 9,290 orang masih berada di pusat pemindahan setakat tengah malam Sabtu berikutan gempa susulan yang berterusan, kebimbangan terhadap keadaan rumah yang rosak serta trauma berpanjangan akibat gempa bumi dan tsunami Flores pada 1992, menyebabkan sebahagian penduduk memilih untuk tidak pulang ke rumah.

-- BERNAMA