KUALA LUMPUR,17 Ogos (Bernama) -- Harga saham Maxis Bhd meningkat 2.16 peratus pada dagangan awal hari ini selepas syarikat itu mengumumkan keuntungan bersih suku kedua 2026 yang lebih kukuh baru-baru ini.
Pada 10.38 pagi, harga sahamnya naik lapan sen kepada RM3.78, dengan 4.53 juta saham diniagakan.
Syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM436 juta pada suku kedua 2026 berbanding RM398 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil turut meningkat kepada RM2.66 bilion daripada RM2.56 bilion sebelumnya, disokong oleh hasil peranti dan perkhidmatan yang lebih tinggi.
Dalam nota penyelidikan, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) memaklumkan unjuran hasilnya kekal tidak berubah tetapi menaikkan andaian margin keuntungan untuk mencerminkan struktur kos terkini Maxis dengan lebih baik, memandangkan usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Ini membawa kepada semakan menaik dalam pendapatannya bagi tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028 di antara 6.4 peratus dan 7.4 peratus.
“Sehubungan itu, harga sasaran kami telah disemak lebih tinggi kepada RM4.31 daripada RM4.05 sebelumnya,” tambahnya sambil mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham syarikat itu.
Sependapat dengan MBSB IB, Kenanga Investment Bank turut menaikkan pendapatan tahun kewangan 2026 syarikat telekomunikasi itu sebanyak 5.3 peratus.
Ia juga memaklumkan pengakaunan menggunakan kaedah ekuiti bagi Digital Nasional Bhd ditangguhkan kepada suku keempat tahun kewangan 2026, selaras dengan panduan terkini yang diberikan oleh Maxis.
-- BERNAMA