KHARTOUM (Sudan)/ISTANBUL, 17 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika pada Ahad menolak campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Sudan serta usaha menubuhkan entiti atau kerajaan selari yang boleh menjejaskan perpaduan dan kedaulatan negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Pendirian itu disampaikan dalam pertemuan antara Pengerusi Majlis Kedaulatan Sudan Abdel Fattah al-Burhan dan delegasi Majlis Keamanan dan Keselamatan Kesatuan Afrika yang diketuai diplomat Algeria Mohamed Khaled di istana presiden di ibu negara Khartoum, menurut kenyataan Majlis Kedaulatan Peralihan.
Khaled, yang juga pengerusi bergilir majlis itu menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai “bermanfaat” dan berkata beberapa isu berkaitan keamanan, keselamatan serta kestabilan di Sudan dibincangkan.
Beliau mengulangi kecaman majlis itu terhadap sebarang campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Sudan, sambil berkata tindakan sedemikian “memburukkan lagi konflik”.
Khaled turut menegaskan penolakan majlis itu terhadap usaha mewujudkan entiti atau kerajaan selari yang boleh menjejaskan perpaduan dan kedaulatan Sudan.
“Satu-satunya jalan untuk mencapai keamanan berkekalan di Sudan adalah menerusi dialog, perdamaian nasional dan mencapai penyelesaian politik menyeluruh yang memenuhi aspirasi rakyat Sudan,” katanya.
Beliau mengalu-alukan langkah berkaitan inisiatif keamanan serta kembalinya kerajaan yang menjalankan tugas dari Khartoum, sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai “penting” bagi memulihkan fungsi institusi negara dan menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyat.
Beliau menggesa kerajaan serta kuasa politik menjadikan proses peralihan lebih inklusif dan berusaha mencapai konsensus nasional yang membawa kepada pembentukan sistem berperlembagaan menerusi pilihan raya yang bebas dan adil.
Terdahulu pada Ahad, Perdana Menteri Sudan Kamil Idris memberitahu delegasi majlis itu bahawa dialog sesama rakyat Sudan akan “bermula tidak lama lagi”.
Sudan dilanda perang sejak April 2023 antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berhubung rancangan untuk mengintegrasikan pasukan itu ke dalam angkatan tentera tetap.
Konflik berkenaan mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kira-kira 13 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA-ANADOLU